Peserta Penang Run nikmati keindahan Seberang Perai

Admin

Oleh: Z A INULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap semua peserta Larian Pulau Pinang 2014-2015 (Penang Run) turut menikmati keindahan Seberang Perai, selain merebut kejuaraan pada pertandingan tersebut.

“Tahun lepas (2013), Penang Run telah melalui empat peringkat larian memusing bahagian pulau, Pulau Pinang.

“Untuk tahun ini (2014), kita mengambil keputusan untuk menganjurkan ia di Seberang Perai demi mempamerkan pelbagai keindahan yang ditawarkan di Seberang (Perai),” ujarnya pada majlis perasmian dan penyampaian medal kepada pemenang di sini baru-baru ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utitilti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu) dan A. Tanasekharan (ADUN Bagan Dalam) turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Setiausaha bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Sr. Rozali Mohamud.

Difahamkan, peserta Larian Pulau Pinang kali ini merentasi ketiga-tiga daerah, iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Melalui penganjuran program tersebut, Guan Eng berharap Pulau Pinang dapat menjadi negeri sukan yang dikenali Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.