Kelab Falak DUN Batu Maung pupuk minat muda

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

BATU MAUNG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim mengambil inisiatif mewujud dan melancarkan Kelab Falak DUN Batu Maung sebagai galakan kepada golongan muda terhadap bidang berkenaan di sini baru-baru ini.

Pelancaran tersebut dibuat sempena Kem Falak Siri 2 DUN Batu Maung di Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh di sini.

Hadir sama, Timbalan Mufti Negeri Pulau Pinang, Sohibul Fadhilah Ustaz Mamat Said dan Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Falak dan Sumber Maklumat Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Ustaz Mohd. Jais Amar Akmal.

Menurut Abdul Malik, galakan kepada generasi muda perlu diberikan secara berterusan untuk memupuk minat kecintaan terhadap ilmu falak.

“Melalui ilmu falak, kita dapat belajar kaedah-kaedah penentuan arah kiblat, waktu solat dan kejadian yang ada di langit dan di bumi.

“Selain itu, ia juga dapat mendekatkan dan mengingatkan kita terhadap rahsia yang tersimpan di sebalik setiap ciptaan-Nya,” ucapnya ketika hadir merasmikan Kem Falak Siri 2 di sini.

Seramai 70 peserta daripada pelajar Tahun 4 hingga Tahun 6 menyertai Kem Falak selama dua hari berkenaan.

Pelbagai pengisian menarik dijalankan sepanjang kem tersebut antaranya, bengkel jam matahari, bengkel roket air, penggunaan kompas dan tiang istiwa’, rubu’ mujayyab (penentuan arah kiblat) dan cerapan bulan serta bintang menggunakan teleskop cerapan.

Dalam pada itu, Abdul Malik berharap menerusi pelancaran tersebut dapat dijadikan landasan kepada pelajar untuk menerokai ilmu falak sebagaimana cendakiawan Islam tersohor seperti Ibnu Battuta, Al-Khawarizmi, Al-Battani, Al-Majriti dan Omar Kayyam.

“Sebenarnya banyak lagi ciptaan-Nya yang masih belum diketahui dan dengan aktiviti yang Kelab Falak rencanakan, sedikit sebanyak dapat membuka minda pelajar yang menyertai kelab ini,” ujar beliau.