Pesta Buku dan Ilmuan Islam produk pelancongan masjid

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

TANJUNG BUNGAH – Pesta Buku dan Ilmuan Islam 2014 yang dilangsungkan selama 11 hari bermula 29 Mei di perkarangan Masjid Terapung Tanjung Bungah mensasarkan kehadiran 22,000 pengunjung, dengan kerjasama konsultan program VCreative Resources.

Pengerusi Penganjur, Ahmad Faziel Shamsuddin berkata, sasaran itu berdasarkan pengalaman VCreative Resources sendiri menganjurkan program serupa di Putrajaya dan Johor, sebelum ini.

“Dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri, lebih 60 sekolah dijemput secara rasmi menyertai pelbagai program di masjid ini.

“Jawatankuasa qaryah masjid selaku penganjur bersama yakin angka itu (22,000 pengunjung) boleh dicapai kerana program mengimarahkan masjid ini sengaja diadakan pada musim cuti sekolah dan musim melancong,” ujarnya yang juga Pengerusi Biro Pendidikan & Kebajikan Masjid Terapung di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid & Hal Ehwal Qaryah bagi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Rosidi Hussain, Azli Abdul Aziz (Pengarah VCreative Resources), Roslan Abu Bakar (Pengerusi Qaryah Masjid Terapung) dan Dr. Mohamad Zabdi Zamrod (AJK Qaryah) turut hadir pada sidang media itu.

Bercakap pada sidang media sama, Rosidi berkata, penganjuran program buat julung-julung kalinya di peringkat Masjid Terapung, sekaligus menjadi satu lagi produk pelancongan masjid di negeri ini.

“Sepatutnya program seumpama ini dilakukan oleh Kerajaan Negeri, tetapi berjaya dilakukan oleh Jawatankuasa qaryah, yang baru dilantik sejak 11 bulan lepas di sini.

“Kita (MAINPP) akan mempertimbang untuk meluaskan program seumpama ini ke masjid-masjid lain jika sambutan di sini menggalakkan, kerana ia sangat baik untuk mengimarahkan ‘Rumah Allah’, (serta) berpotensi untuk dijadikan produk pelancongan dakwah di negeri ini,” ujar Rosidi yang juga Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri.

Sebanyak 27 gerai pameran buku, pakaian, aksesori pendidikan dan sebagainya mula dibuka seawal 10 pagi tiap-tiap hari.

Persembahan pentas diadakan tiap-tiap hari, antaranya oleh Kumpulan nasyid Raihan dan motivasi dakwah Dr. Danial Zainal Abidin (Ahli Majlis MAINPP), Ustaz Badlishah Alauddin (selebriti TV9), Ustaz Halim Din (selebriti TV9) serta perkongsian ‘Kembara Ustaz’ bersama ‘Ali XPDC’ dan ‘Ustaz Naim’.

Itu, tidak termasuk Bengkel Belajar Mudah Matematik ‘Ez-Math’ serta Kem Motivasi Remaja Islam 2014 yang diadakan serentak di sini.