1,527 sertai Larian Menara Komtar 2014

Admin

O l e h : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Seramai 1,527 orang, termasuk 36 peserta antarabangsa berlari sejauh 2 kilometer dan mendaki 1,197 anak tangga merebut kejuaraan dalam Larian Menara Komtar Pulau Pinang 2014.

Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik berkata, wang tunai untuk semua tujuh kategori yang dipertandingkan adalah sebanyak RM15,000, tidak termasuk cabutan bertuah berupa tiga basikal, hamper, penginapan hotel, baucer dan banyak lagi sebagai menghargai semua peserta.

Tujuh kategori tersebut, iaitu antarabangsa lelaki, terbuka lelaki, terbuka perempuan, veteran lelaki, veteran perempuan, kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan.

“Untuk kategori antarabangsa, penyertaan daripada 13 negara seperti Kenya, Filipina, Amerika Syarikat, Canada, India, Bangladesh, Azerbaijan, Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Peserta paling tua yang menyertai pertandingan kali ini berusia 80 tahun, manakala, peserta tempatan paling ramai tentulah dari negeri Pulau Pinang, iaitu 1,291 orang.

“Ini, menunjukkan komuniti yang lebih besar memberi komitmen untuk menyertai saingan sukan ekstrem kali ini,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Menurut Wei Aik, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sendiri dijemput menyertai acara tahunan kali ke-6 itu, manakala, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng menyempurnakan upacara pelepasan larian hari tersebut seawal jam 7.15 pagi.

Pengurus Program La Vintage Event Sdn. Bhd., Shawn Ng selaku pengurus Larian Menara Komtar Pulau Pinang 2014 memberitahu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Tourism Malaysia, Star Cruises, Ivory Properties Group Berhad, McDonald’s, Permanis Sandilands Sdn. Bhd., Shop Spot Advertising, TG Ocean Health Food Industries Sdn. Bhd., Eagle & Pagoda Brand Tek Aun Medical Factory Sdn. Bhd., CHT Marketing, Zuellig Pharma Sdn. Bhd. dan Gardenia Bakery (KL) Sdn. Bhd. merupakan pihak penaja bagi acara tahunan kali ini.