Pesta Gawai & Kaamatan P. Pinang – hormat & hargai budaya

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Sebagai penghormatan dan menghargai budaya masyarakat Sabah dan Sarawak yang menjadi sebahagian daripada bangsa Malaysia sejak 1963, Kerajaan Negeri dengan kerjasama beberapa pihak telah menganjurkan Pesta Gawai dan Kaamatan Negeri Pulau Pinang 2014 di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa terdapat ribuan penduduk berasal dari Sabah dan Sarawak yang menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi bermastautin masing-masing.

“Mereka mencari pendapatan, melanjutkan pelajaran dan sebagainya di sini (Pulau Pinang).

“Jadi, tak salah kita mengambil kesempatan ini untuk merayakan keunikan pesta yang juga sama penting seperti budaya dan tradisi suku-suku kaum yang lain di Malaysia,” ujarnya di sini.

Lebih 3,000 tetamu membanjiri Padang Kota Lama untuk berkongsi dan sama-sama merasai kemeriahan program anjuran bersama gereja-gereja Pulau Pinang dan masyarakat Sabah dan Sarawak (di Pulau Pinang).

Turut hadir, Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang, Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik dan Ahli Parlimen  Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt.

Di samping makanan tempatan, turut didatangkan khas adalah pelbagai makanan Sabah dan Sarawak seperti Kolo Mee, Laksa Sarawak, Kampua Mee, Kek Lapis Sarawak serta Pais Ubi.

Sambil menikmati pelbagai juadah, tetamu dihiburkan dengan tarian tradisional masyarakat Semenanjung Timur Malaysia seperti tarian buluh dan peragaan pakaian tradisional warna-warni.

Lazimnya, Gawai diraikan sebagai rasa terima kasih kepada roh dan Tuhan kerana memberikan hasil tuaian yang baik bagi etnik suku kaum di Sarawak. Berlainan dengan di Sabah, Gawai menandakan tamatnya musim menuai yang lebih dikenali sebagai Kaamatan.