Dua Exco perjelas punca tidak hadir sesi gulung DUN

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Dua Exco Kerajaan Negeri tampil memberi penjelasan ekoran digambarkan ‘ponteng’ sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Ketiga Belas di sini baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) berpendapat, mereka sempat menghadiri sesi penggulungan sebagaimana
dijadualkan, sekiranya penyokong pembangkang tidak menceroboh DUN Pulau Pinang pada 21 Mei lepas.

Bagaimanapun, dua exco berkenaan berkata, mereka bersetuju dengan langkah membahaskan dua usul tergempar mengutuk insiden tersebut, walaupun terpaksa melewatkan sesi penggulungan daripada jadual asal persidangan DUN.

“Kalau diikutkan jadual asal, exco-exco yang perlu ke luar negara pada petang 22 Mei lalu sempat untuk mengulung perbahasan masing-masing.

“Namun, peristiwa  hitam ini telah berlaku dan memakan masa yang lebih untuk sidang DUN kali ini,” ujar Abdul Malik pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Abdul Malik memberitahu, beliau tidak menghadiri sesi penggulungan kerana dijadualkan menyertai Ekspo Halal Antarabangsa Pakistan Ke-3, serta sempat memeterai dua perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat asing.

Afif memberitahu, beliau turut menyertai lawatan rasmi tersebut.

Abdul Malik dan Afif masing-masing turut menyambut baik nasihat Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, serta teguran Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkait sesi penggulungan berkenaan.

Teks ucapan penggulungan Abdul Malik dibacakan oleh Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng.

Manakala, teks ucapan Afif dibacakan Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon turut tidak sempat menyempurnakan ucapan penggulungannya sebagaimana dijadualkan, kerana mempunyai lawatan rasmi ke luar negara.