PFA harap dapat promosi sukan Floorball – Exco

BALIK PULAU – Skuad Floorball Lelaki  (mirip sukan hoki ais) Pulau Pinang baru-baru ini cemerlang menewaskan lawan masing-masing sebelum muncul juara pada Kejohanan Piala Merdeka Floorball yang berlangsung di Balai Rakyat, Pasar Awam Balik Pulau di sini baru-baru ini.

Pasukan Lelaki Pulau Pinang yang masih segar dengan kejuaraan tahun lalu dilihat mudah mempertahankan kejaguhan terbabit pada perlawanan kali ini. Mereka dengan mudah menumpaskan Selangor dengan kiraan 9 berbalas 2 sambil memenangi lain-lain perlawanan.

Sukan yang agak baru di negara ini turut mendapat penyertaan dari Selangor, Kuala Lumpur, Sabah dan Johor. Perlawanan jelas berlangsung sengit dengan semua pasukan saling menunjukkan bakat masing-masing.

Namun bagi pasukan Wanita Pulau Pinang, nasib dilihat kurang menyebelahi mereka apabila tewas satu perlawanan kepada Kuala Lumpur. Ia
sekaligus tidak melayakkan mereka menjuarai pertandingan berkenaan walaupun memenangi tiga baki aksi lain pada pertandingan menggunakan format liga itu.

Hadir sama pada upacara penutup kejohanan adalah Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng.

Menurut Chong Eng, beliau selaku individu yang bertanggungjawab dalam bidang sukan menyambut baik kehadiran sukan baru mirip hoki ais tersebut di Pulau Pinang dan berharap Persatuan Floorball Pulau Pinang (PFA) dapat menjalankan lebih banyak promosi kepada masyarakat bagi mempopularkan ia.

“Ini juga merupakan kali pertama Kerajaan Negeri memberikan sokongan sepenuhnya kepada sukan baru ini demi memartabatkan lagi Floorball di peringkat kebangsaan seterusnya ke peringkat antarabangsa,” ucapnya pada acara penutup kejohanan.

Beberapa buah sekolah kini turut bergiat aktif dalam sukan tersebut antaranya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, SMK Penang Free, SMK Hamid Khan, SMK Methodist Lelaki dan Perempuan, SMK Sungai Nibong, SMJK Chung Ling, Convent Green Lane, St. Xavier Institution dan lain-lain.

Pada temasya Sukan SEA Ke-28,2015 di Singapura, Floorball  dikhabarkan turut akan dipertandingkan.