Exco seru semua program ambil kira penglibatan OKU

Teks & Gambar: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui portfolio Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti menyeru semua pihak agar program-program kemasyarakatan yang dianjurkan di negeri ini turut mengambil kira penglibatan orang kurang upaya (OKU) secara langsung.

Exconya, Chong Eng berkata, seruan tersebut adalah sejajar dengan Paradigma Pulau Pinang yang mementingkan keterangkuman sosial (social inclusiveness) dalam semua aspek termasuk aktiviti sukan dan riadah.

“Kita ingin semua warga Pulau Pinang turut membantu menjadikan negeri tersayang ini sebagai sebuah negeri yang berjaya memastikan OKU tidak dipinggirkan dan mendapat peluang serta ruang yang adil dan saksama,” katanya ketika berucap pada penutupan acara Delta Eco Night Run 2014 dekat Taman Perbandaran sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan DELTA Business Solutions Sdn. Bhd. (Delta), Choo Eng Hin, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Chin Miin Mee dan Gabenor Daerah 308 B2 Lions Club of George Town, Ooi Chao Syhuan.

Delta merupakan syarikat yang menyediakan kelengkapan pejabat. Dalam pada itu, Chong Eng turut mengajak warga Pulau Pinang untuk sama-sama menjayakan beberapa lagi aktiviti sukan massa yang dianjurkan untuk tujuan amal seperti, Cycle for Hearts 2014 pada 28 September di Lebuh Pantai, Walk for Life (13 November 2014) dan Lets Walk, Run and Zumba for Charity 2014 (7 Disember 2014) di Padang Kota Lama di sini.

“Marilah kita sama-sama berganding bahu membentuk masyarakat lebih penyayang melalui aktiviti kesukanan dan riadah yang bukan sahaja menyihatkan badan, tetapi mencerdaskan minda,” ujar beliau yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang cabutan bertuah.

Seramai 1,500 individu mengambil bahagian dalam acara anjuran Delta dengan kerjasama Lions Club, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dan Persatuan Atlet Amatur Pulau Pinang (PAAA).

Difahamkan, Delta Eco Night Run 2014 atau dikenali juga dengan A Human Firefly Night Run merupakan satu-satunya aktiviti sukan dan riadah yang diadakan pada waktu malam dan merupakan ‘signature event’ bagi Delta.