Phuket kini ‘Bandar Sahabat’ George Town

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PHUKET, THAILAND – Ketua Menteri,  Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengetuai  delegasi Majlis Perbandaran Pulau  Pinang (MPPP) ke Phuket, Thailand demi  menandatangani perjanjian persefahaman  ‘Bandar Persahabatan’ demi manfaat masa  depan kedua-dua belah pihak.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri  berminat untuk menimba pengalaman  daripada industri pelancongan di Phuket  dan bersedia untuk berkongsi pengetahuan  teknologi yang wujud di negeri ini.

Tambah beliau, kerjasama erat keduadua belah pihak dalam sektor perdagangan, pelaburan, pelancongan, ekonomi dan pembangunan sangat diperlukan demi mendepani iklim perdagangan bebas membabitkan negara-negara ASEAN tidak lama lagi.

“Pembukaan perdagangan bebas ASEAN menjelang 2016 menandakan satu lembaran baru perdagangan, pelaburan, pelancongan, ekonomi dan pembangunan kerjasama bagi 600 juta orang yang tinggal di ASEAN.

“Status ‘Bandar Persahabatan’ antara Pulau Pinang (George Town) dan Phuket menandakan satu lembaran baru hubungan produktif saling menguntungkan bertukartukar kepakaran Phuket dalam pelancongan dengan pengetahuan teknologi Pulau Pinang.

“Walaupun ia mengambil masa lebih 10 tahun untuk memperbaharui persahabatan kita, itu adalah lebih baik daripada tidak pernah langsung,” ujarnya di sini baru-baru ini sambil menjelaskan bahawa kedua-dua belah pihak mempunyai persaudaraan dari segi sejarah lebih 100 tahun dulu.

Sebelum itu, Guan Eng menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) ‘Bandar Persahabatan’ antara Yang di-Pertua MPPP, Datuk Patahiyah Ismail dengan Datuk Bandar Phuket, Somjai Suwansupana.

Dua MoU lain turut ditandatangani, iaitu antara Marrybrown dan sebuah syarikat perniagaan Thailand, serta pembelian sebuah hotel di sini yang membabitkan ahli perniagaan terkenal Pulau Pinang, Datuk Syed Mohd. Aidid Syed Murtaza.

Majlis bersejarah tersebut turut disaksikan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Maitri Inthusu (Gabenor Puket), Krit Kraichitti (Duta Thailand Ke Malaysia) dan Srirat Vathesatogkit (Konsul Besar Thailand ke Pulau Pinang).

Guan Eng memberitahu, rekod Phuket mempunyai 70,000 bilik hotel serta menerima kira-kira 12 juta pelancong tiap-tiap tahun banyak memberi inspirasi kepada Kerajaan Negeri untuk mengembangkan potensi industri pelancongan warisan di Pulau Pinang.

“Masuk Pulau Pinang, ada kelompok kreatif dengan 3S, iaitu Bakat, Toleransi dan Teknologi untuk dikongsi kepakaran dengan Puket,” ujar beliau.

Setakat ini, Medan dekat Indonesia, Adelaide (Australia), Taipei (Taiwan), Xiamen (China) dan Kanagawa (Jepun) merupakan antara bandar yang telah menjadi ‘Bandar Berkembar’ atau ‘Bandar Persahabatan’ dengan George Town dekat Pulau Pinang.