Bencana alam punca utama banjir kilat 3 Okt. – Exco

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & AHMAD ADIL MOHAMAD
Gambar: LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow menjelaskan cuaca tidak menentu, fenomena air laut pasang serta hujan lebat yang luar biasa merupakan antara punca utama bencana banjir kilat di beberapa kawasan di negeri ini pada malam 3 Oktober lepas

Penjelasan itu sekaligus membidas tuduhan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow kononnya banjir kilat baru-baru ini disebabkan oleh pembangunan berlebihan di negeri ini semata-mata.

“Mengikut ramalan kaji cuaca, kita (Pulau Pinang) hanya akan menerima hujan sebanyak 100 milimeter (mm) hingga 250 mm pada bulan Oktober, sebaliknya, pada malam berkenaan (3 Oktober) dalam tempoh dua jam (8 malam hingga 10 malam), menunjukkan bacaan penerimaan hujan mencapai 137 mm.

“Selain itu, kita (Kerajaan Negeri) dapati sistem perparitan yang ada di sekitar kawasan terlibat tidak mampu menampung lebihan air yang sebegitu banyak, kerana ianya direka pada asalnya hanya untuk menampung aliran hujan yang biasa pada satu-satu masa.

“Jika dikatakan soal pembangunan, selama 50 tahun lebih di era BN, anda boleh nilai sendiri, saya tidak ingin mengulas lanjut berkenaan hal itu,” ujarnya pada sidang media bagi mengulas dakwaan berkenaan di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Kon Yeow bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng turut turun meninjau fenomena air laut pasang, hingga melimpah ke dataran jalan kaki Padang Kota Lama di sini.

Tambah Kon Yeow, sistem perparitan di sekitar George Town sebenarnya boleh menampung kirakira lima kadar purata berulang (ARI) bagi satusatu peristiwa banjir, namun, bencana pada 3 Oktober lepas dikatakan melebihi 40 ARI.

“Kerajaan Negeri sememangnya mempunyai pelan jangka panjang untuk mengatasi banjir di negeri ini, dengan anggaran kos sebanyak RM600 hingga RM800 juta.

“RM6,913,896.60 ini adalah peruntukan yang diambil oleh wang caruman perparitan.

“Namun, sumber kewangan dilihat sebagai masalah utama bagi menangani permasalahan ini di kesemua lima daerah seluruh Pulau Pinang.

“Kita mungkin boleh menggunakan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) seperti konsep tebus guna tanah dan sebagainya, namun, segala tindakan perlulah diperhalusi serta memohon dana dari Kerajaan Persekututan juga,” ujar beliau.

Sehingga kini, Kerajaan Negeri melalui caruman MPPP meluluskan RM 2.7 juta.

Manakala, Bajet Kerajaan Pulau Pinang 2014 menyatakan sebanyak RM9.1 juta diperuntukan untuk projek tebatan banjir pada tahun depan (2015), termasuk RM3.4 juta adalah di kawasan Bukit Mertajam.