Piala Muhibah erat silaturahim pusat khidmat bersama agensi kerajaan

TANJUNG BUNGA – Penganjuran pertandingan badminton Piala Muhibah yang berlangsung baru-baru ini diharap dapat mengeratkan lagi hubungan di antara Pusat Khidmat Parlimen Bukit Bendera dan agensi-agensi kerajaan di kawasan berkenaan.

Wong Hon Wai selaku Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, sukan bukan sahaja merupakan aktiviti riadah yang bermanfaat tetapi terbukti mampu memupuk silaturahim.

“Ini merupakan tahun kedua kita anjurkan Piala Muhibah dengan jayanya, sekiranya tahun lepas cuma ada lapan pasukan tetapi tahun ini kita dapat 12 penyertaan dari agensi kerajaan, pusat khidmat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Pertandingan seperti ini dilihat mampu untuk mencapai objektif bagi memperkasakan hubungan di antara agensi kerajaan serta pusat khidmat dalam berganding bahu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” ujar beliau sebelum merasmikan Piala Muhibah di Dewan Serbaguna Pasar Awam Tanjung Bunga baru-baru ini.

Antara pasukan yang mengambil bahagian termasuklah dari Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Bagan Jermal, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dan Komuniti Harapan Malaysia.

Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Tanjung Bunga dan Kebun Bunga tidak ketinggalan mengambil bahagian dan memeriahkan pertandingan.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI