PIDBF tonjol kehebatan pesakit kanser

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Teluk Bahang – Pertandingan Penang International Dragon Boat Festival Ke-35 2014 (PIDBF)  yang berlangsung di sini baru-baru  ini turut dimeriahkan dengan penyertaan para pesakit kanser dari dalam dan luar negara, Australia.

Pengasas Cancerlink Penang (pertubuhan kebajikan melawan penyakit kanser), Ruth Chong berkata, pihaknya menghantar empat pasukan yang terdiri daripada pesakit kanser dan sukarelawan pada penganjuran berkenaan.

“Penyertaan kali ini adalah demi menimbulkan kesedaran kepada orang ramai dan pesakit kanser.

“Kebiasaannya, masyarakat  kurang kesedaran mengenai penyakit kanser dan pesakit (kanser) pula lazimnya jarang menyertai aktiviti sosial sebegini kerana beranggapan mereka (pesakit kanser) tidak sihat dan kurang sesuai,’’ katanya dihubungi Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Sebanyak 24 pasukan  mengambil bahagian dalam penganjuran yang berlangsung di Empangan Teluk Bahang di sini.

Acara tahunan anjuran Kerajaan Negeri tersebut turut disertai 10pasukan dari luar negara antaranya, Thailand, Australia, Singapura, Filipina, Indonesia serta Hong Kong.

Antara pasukan yang mencuri tumpuan dan berjaya menjuarai saringan masing-masing adalah Bangkok Samutprakarn Thailand Dragon Boat dalam kategori International Premier Open, pasukan Indonesia (International Premier Mix), Penang Forwards Sports Club A (International Open above 40) dan Water Warriors (International Premier Women).

Dalam pada itu, Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang dalam ucaptamanya menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada PIDBF kerana sukan terbabit secara tidak langsung mempromosikan
gaya hidup sihat dalam kalangan peserta.

“Pengajuran seperti ini menjadikan Pulau Pinang satu-satunya negeri di Malaysia yang menganjurkan acara seumpama ini.

“Sembilan kategori termasuk  acara Senior, Junior, Lelaki, Wanita, Terbuka dan Campuran pastinya menjanjikan suatu saingan yang menarik dan hebat untuk ditonton para peminat sukan perahu naga seluruh dunia,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah PIDBF di sini.

Heng Kiang memberitahu,  kehadiran pasukan-pasukan antarabangsa juga jelas menunjukkan bahawa PIDBF masih relevan sungguhpun ianya sudah memasuki edisi ke 35.

“Kami (Kerajaan Negeri) amat mengalu-alukan semua peserta yang datang dari luar Pulau Pinang untuk turut serta menikmati keindahan negeri ini.

“Ini termasuk lokasi-lokasi pelancongan menarik selain merasai keenakan masakan makanan tempatan,’’ ujar beliau.

Bagi yang berminat untuk menyertai Cancerlink Penang, sila hubungi Ruth pada talian 012 – 457 4917.