Serambi PI : Ucapan Perbahasan Rang Undang-undang Yayasan Guru Tun Hussein Onn 2014 di Parlimen Malaysia pada 9 Jun 2014 (Bahagian 1)

Admin

Oleh: Zairil Khir Johari
Pengarah Eksekutif Penang
Institute merangkap Ahli
Parlimen Bukit Bendera

TERIMA kasih Tuan Yang Dipertua atas peluang untuk membahaskan Rang Undang-undang Yayasan Guru Tun Hussein Onn. Sememangnya kebajikan guru harus diberi keutamaan sekiranya kita ingin memastikan sistem pendidikan negara dapat menghasilkan modal insan yang berpengetahuan tinggi dan berdaya saing bagi memacu pembangunan Malaysia kepada sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang akhir dekad ini.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyentuh beberapa perkara yang berkaitan dengan sistem pendidikan negara. Kekeliruan mengenai PT3

Tuan Yang Dipertua,
Menurut pengumuman Menteri Pendidikan I pada bulan Mac yang lepas, peperiksaan PMR (Penilaian Menengah Rendah) akan dimansuhkan mulai tahun ini dan akan digantikan dengan PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3). Langkah ini adalah sebahagian daripada anjakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada format Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Menteri juga menyatakan bahawa PT3 ini akan digunakan sebagai asas menentukan kemasukan murid ke tingkatan 4, termasuk di sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta sekolah agama, teknik dan kolej vokasional.

Di bawah PT3, pelbagai instrumen akan digunakan untuk menilai prestasi murid, seperti ujian amali, ujian bertulis, kajian kes, projek dan lain-lain lagi, bergantung kepada mata pelajaran yang terlibat

Tidak seperti PMR yang merupakan peperiksaan berpusat, PT3 akan dikendalikan oleh pihak sekolah yang bertanggungjawab untuk mentadbir, mentaksir dan memberi skor berpandukan panduan yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan. Tambahan pada itu, pentaksir luar akan dilantik oleh Lembaga Peperiksaan bagi melakukan moderasi dan verifikasi terhadap keputusan murid. Akhir sekali, ujian psikometrik juga diuar-uarkan sebagai salah satu kaedah untuk memastikan pemilihan dan penempatan murid ke sekolah-sekolah tersebut.

Jelas, sistem PT3 ini adalah perubahan yang ketara berbanding dengan peperiksaan PMR yang terdahulu. Namun, saya ingin bertanya sama ada pelaksanaan PT3 ini sudah pun dikaji dan difikirkan secara masak-masak?

Ini kerana saya mendapat makluman daripada pelbagai pihak, khususnya guru dan pentadbir sekolah, bahawa sehingga sekarang masih terdapat banyak kekeliruan mengenai PT3 yang bakal dilaksanakan tahun ini.

Sebagai contoh, format muktamad PT3 ini belum lagi dimaklumkan oleh Lembaga Peperiksaan kepada pihak sekolah dan tenaga pengajar. Guru-guru tingkatan 3 di seluruh Malaysia juga masih belum diberi taklimat penuh. Sesetengah sekolah pula tidak dapat membuat persiapan bagi kemasukan murid tingkatan 4 pada tahun depan, akibat tidak memahami proses and prosedur sistem penilaian baru ini.

Tambahan pula, saya juga difahamkan bahawa buku-buku teks baru pun belum disiapkan lagi kerana penyemakan semula sukatan pelajaran baru gagal dilaksanakan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Tuan Yang Dipertua,
Kini, sesi sekolah akan memasuki separuh tahun kedua. Namun, para murid dan guru tingkatan 3 di serata negara masih berada dalam kegelapan mengenai PT3 ini. Dengan hanya beberapa bulan lagi yang tinggal, bagaimanakah kita boleh memastikan murid akan bersedia untuk menghadapi pentaksiran baru pada akhir tahun ini? Pada masa yang sama, adakah guru dan juga pentadbiran sekolah bersedia untuk melaksanakan sistem baru yang belum lagi difahami mereka? Bagaimanakah pula dengan persiapan sekolahsekolah dalam kemasukan murid tingkatan 4 tahun depan?

Nampaknya, seluruh batch atau kelompok murid tingkatan 3 tahun ini bakal dikorbankan dek kerana pelaksanaan PT3 yang sungguh mengelirukan dan mengecewakan ini. Persoalannya, siapakah yang bertanggungjawab dan apakah tindakan Kementerian untuk menangani masalah ini dengan segera?

Buku teks digital

Tuan Yang Dipertua,
Sistem pendidikan negara kita sedang mengalami pelbagai perubahan. Selain daripada peralihan daripada peperiksaan berpusat kepada sistem PBS, buku teks digital juga telah diperkenalkan pada awal tahun ini oleh Menteri Pendidikan II.

Menurut laporan media, penggunaan buku teks digital yang mengandungi teks grafik serta ciri flip akan dilaksanakan secara berperingkat di semua sekolah di seluruh negara mulai tahun ini. Inisiatif baru ini yang ditawarkan sebagai alternatif kepada buku teks fikizal adalah sebahagian daripada projek infrastruktur ICT mega yang dianugerahkan kepada syarikat YTL.

Antara projek-projek Kementerian yang sedang dilaksanakan oleh YTL adalah pemasangan jalur lebar 4G di kesemua 10,000 sekolah di bawah program 1BestariNet, penyediaan Pelantar Pembelajaran Maya (VLE) yang merangkumi buku teks digital ini serta pembekalan komputer riba Chromebook kepada sekolah-sekolah.

Di sini, saya ingin menimbulkan beberapa persoalan mengenai pelaksanaan projek-projek tersebut. Pertama sekali, pendekatan yang digunakan adalah “one size fits all” ataupun “satu saiz untuk semua.” Ini merupakan pendekatan yang tidak intuitif dan langsung tidak mengambil kira faktor-faktor serta perbezaan keadaan setempat yang sangat ketara antara satu kawasan dengan kawasan lain.

Sebagai contoh, cuba bandingkan sebuah sekolah di kawasan pedalaman Malaysia Timur dengan sekolah bandar seperti Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara? Perbezaannya bukan sekadar dari segi infrastruktur, kualiti fakulti, penglibatan ibu bapa, malah juga dari segi latar belakang sosio-ekonomi murid serta kemahiran mereka dalam menggunakan kemudahan ICT.

Pada hemat saya, penggunaan VLE atau buku teks digital tidak akan mengurangkan kesenjangan antara murid bandar dan luar bandar. Malah, ia mungkin akan meluaskan lagi jurang tersebut. Ini kerana kemudahan ICT sudah tentu akan dimanfaatkan dengan lebih mendalam oleh guru dan murid di kawasan bandar yang lebih mahir dan biasa dengan peranti-peranti tersebut.

Hakikat ini juga diakui oleh laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM), yang menyatakan bahawa pelaburan sebanyak RM6 bilion dalam prasarana ICT sejak tahun 1999 hingga 2010 tidak menampakkan hasil yang baik dari segi kualiti pembelajaran dan prestasi.

Walaupun perbelanjaan ICT dalam bidang pendidikan adalah tinggi, sebuah kajian oleh Kementerian pada tahun 2010 telah mendapati bahawa penggunaan ICT dalam kalangan guru dan murid adalah sangat terhad. Menurut laporan tersebut, kebanyakan guru (kurang lebih 80 peratus) hanya menggunakan ICT sebanyak satu jam seminggu, manakala laporan UNESCO pada tahun 2012 mendedahkan bahawa tidak ada bukti yang menunjukkan penggunaan ICT berjaya menyemai daya kreativiti, penyelesaian masalah, pemikiran kritis atau kemahiran berkomunikasi dalam kalangan murid.

Salah satu sebab yang menjelaskan kegagalan infrastruktur ICT untuk meningkatkan kualiti pembelajaran adalah kekurangan latihan dan perkhidmatan sokongan kepada para guru. Justeru, prasarana canggih seperti makmal komputer dan makmal sains hanya boleh dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya guru dan murid fasih dan berminat dengan kemudahan tersebut. Sekiranya tidak, ia akan menjadi pembaziran besar semata-mata, sepertimana pelaburan RM2.6 bilion dalam perkakasan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sain dan Matematik dalam Bahasa Inggeris).

Oleh itu, walaupun saya percaya bahawa penggunaan teknologi baru seperti VLE dan buku teks digital adalah pembaharuan yang dapat memperkayakan pengalaman pendidikan murid dan guru di negara kita, ia hanya boleh berjaya sekiranya sekolah dan guru kita bersedia untuk melaksanakannya dengan betul.

Pendapat ini adalah selaras dengan laporan antarabangsa seperti badan pemantau pendidikan Ofsted (Office for Standards in Education, Children’s Services and Skills) di United Kingdom. Menurut hasil kajian mereka, sistem pembelajaran maya tidak semestinya meningkatkan prestasi murid. Sebaliknya, keberhasilannya adalah sangat bergantung kepada sikap dan kemahiran guru yang mengajar. Di mana guru terlatih dan bersikap terbuka untuk mengubah kaedah pengajaran mereka, maka barulah peningkatan dapat dicapai.

Oleh itu, kita berbalik kepada persoalan kebolehupayaan guru yang berkhidmat dalam sekolah-sekolah kita. Adakah mereka benarbenar berupaya untuk memanfaatkan sistem yang canggih ini? Dan sekiranya tidak, adakah semua projek ICT oleh YTL ini akan menjadi gajah putih dan pembaziran yang besar? Kegagalan program PPSMI yang menelan belanja sebanyak RM3.2 bilion harus dijadikan sebagai peringatan.

Pada masa yang sama, saya tidak mengatakan bahawa sekolah luar bandar tidak harus diberi perhatian dan pelaburan yang sama. Sebaliknya, saya percaya bahawa keperluan setiap kawasan adalah berlainan, dan Kementerian harus memberi tumpuan yang berbeza untuk memenuhi keperluan murid setempat.

Sebagai contoh, laporan PPPM juga mendedahkan bahawa setakat 2011, kurang lebih 300 sekolah masih tidak mempunyai bekalan elektrik 24 jam, sementara 1,500 sekolah tidak dilengkapkan dengan kemudahan air bersih. Dari segi prasarana ICT dan sains pula, lebih kurang 2,700 sekolah tidak mempunyai makmal komputer manakala 2,000 sekolah tidak mempunyai makmal sains yang beroperasi penuh.

Sedangkan masalah infrastruktur asas masih belum ditangani, bagaimanakah mungkin sistem canggih seperti jalur lebar 4G dan buku teks digital dapat dimanfaatkan dengan sebaikbaiknya? Tidakkah patut lebih perhatian diberikan kepada usaha menyempurnakan prasarana asas terdahulu sebelum beranjak kepada sistem canggih terbaru?