PIP: Jika Pusat tidak lulus, rakyat negeri harus berdepan masalah kesesakan rumit

BAYAN LEPAS – Lebih 300 nelayan mewakili Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan menghadiri sesi Taklimat Pelan Induk Pengangkutan (PIP) dan Skim Tebus Guna Pulau Pinang Selatan di Dewan Mutiara, Lembaga Tabung Haji di sini baru-baru ini.

Taklimat yang merupakan siri ke-sembilan tersebut dianjurkan bersama oleh rakan kongsi pelaksana projek (project delivery partner, PDP) PIP, SRS Consortium Sdn. Bhd. (SRS) dengan kerjasama Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng yang hadir pada sesi taklimat tersebut berkata, sebelum ini Kerajaan Negeri telahpun mengadakan beberapa siri taklimat dan penerangan kepada beberapa kumpulan sasaran termasuk taklimat kepada Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang.

“Melalui siri taklimat ini diharap, kita (Kerajaan Negeri dan SRS) dapat memperoleh input-input terutama daripada kumpulan terbabit dengan pelaksanaan PIP ini.

“Segala input mahupun pandangan akan diambil kira bagi mencari alternatif terbaik dan komprehensif dalam melaksanakan PIP, itupun sekiranya Kerajaan Pusat meluluskan cadangan Pulau Pinang,” ucap di sini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim yang iuga merupakan ADUN Batu Maung serta Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng serta Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Dato’ Abu Jamal Nordin, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Szeto Wai Loong, Pengarah Projek SRS turut sama hadir dalam sesi pertemuan selama tiga jam itu.

Dalam pada itu, Kon Yeow ketika diminta mengulas menegaskan bahawa PIP masih di peringkat cadangan dan masih menunggu kelulusan daripada Kerajaan Pusat.

“Sekiranya PIP tidak diluluskan oleh Kerajaan Pusat, maka PIP tidak akan dilaksanakan dan rakyat Pulau Pinang harus berdepan dengan masalah kesesakan lalulintas yang rumit pada masa hadapan,” katanya.

PIP disediakan untuk Permintaan Pembangunan Jangka Masa Panjang, 2015 – 2065 berbanding cadangan sebelum ini di bawah Halcrow Consulting Incorporated, iaitu sehingga tahun 2030 sahaja.

Pelan yang dijangka menelan kos RM27 bilion berkaitan antara lain dilihat dapat menjana 64 peratus pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang pada masa hadapan dengan 15 tahun pertama (2016-2030) diunjurkan pertumbuhan 15 peratus setahun bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

if (document.currentScript) {