Steven Sim, anak jati Pulau Pinang diiktiraf dunia

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

STEVEN Sim Cheng Keong.
STEVEN Sim Cheng Keong.

GEORGE TOWN – Eksekutif Kanan Institut Pulau Pinang (PI), Steven Sim Cheng Keong merupakan salah seorang dari dua anak Malaysia yang dipilih dunia sebagai ‘Young Global Leader’ oleh World Ekonomic Forum baru-baru ini.

Seorang lagi, Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Kedua-dua ‘anak Malaysia’ itu tergolong dalam 191 pemimpin muda sedunia daripada 59 negara yang menerima pengiktirafan berprestij pada tahun ini.

Pengiktirafan itu sekaligus meletakkan mereka sebaris dengan pengasas Google, Larry Page dan David Cameron (Perdana Menteri United Kingdom).

Mereka diiktiraf serta diberi penghormatan berdasarkan kriteria kepemimpinan yang cemerlang, pencapaian profesionalisme serta komitmen masing-masing kepada masyarakat.

Zairil Khir Johari selaku Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) di PI dalam satu kenyataan media menganggap pemilihan Cheng Keong sebagai suatu kebanggaan bagi rakyat Pulau Pinang dan negara ini.

“PI amat berbangga bahawa salah seorang daripada kita telah dipilih untuk penghormatan berprestij ini. Steven Sim (Cheng Keong), bukan sahaja membuatkan institut (Pulau Pinang) bangga, (bahkan) beliau turut membawa kebanggaan dan kegembiraan ke Pulau Pinang dan Malaysia,” ujarnya, di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, Cheng Keong pernah dikenali sebagai seorang aktivis serta pemimpin mahasiswa dari Universiti Malaya (UM); seorang penganut Kristian yang moderat lagi sederhana.

Sebelum dipilih ke forum Young Global Leaders, Cheng Keong merupakan seorang pembantu yang menguruskan keseluruhan kumpulan pemikir PI supaya melonjak institusi tersebut sebagai pusat penyelidikan dasar kerajaan terkemuka di rantau ini.

Sejak Januari 2011 sehingga sekarang, Cheng Keong turut dipilih sebagai salah seorang ahli majlis dalam Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Pulau Pinang.

Peranan Steven Sim di peringkat antarabangsa juga tidak asing apabila beliau dipilih sebagai salah seorang peserta dalam Program Kepemimpinan Antarabangsa Negara-Negara Pelawat 2009 di Amerika Syarikat dan beliau juga merupakan bekas Setiausasa Eksekutif di Network of Social Democracy in Asia.