PKS dan FDI mantapkan ekonomi PP

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

BAYAN LEPAS – Pembinaan Pusat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Pulau Pinang bernilai RM40 juta yang bakal siap pada Mei 2012 membuktikan bahawa negeri ini amat menekankan kepada pembangunan serta  ekonomi yang mapan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kebergantungan kepada pelaburan langsung asing (FDI) semata-mata akan mendedahkan kepada kestabilan ekonomi sesebuah negeri.

“PKS dan FDI adalah sama penting untuk dibangunkan di negeri ini. Terbukti apabila FDI Pulau Pinang mencatatkan rekod paling tinggi berbanding negeri-negeri lain. Namun, kita (Kerajaan Negeri) tidak harus terlalu bergantung kepada FDI yang mudah untuk jatuh bangunnya dalam ekonomi global.

KETUA Menteri (tengah, berbaju putih) diberi penerangan oleh pegawai bertugas mengenai perkembangan projek  Pembinaan Pusat PKS di Bayan Lepas di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri (tengah, berbaju putih) diberi penerangan oleh pegawai bertugas mengenai perkembangan projek Pembinaan Pusat PKS di Bayan Lepas di sini baru-baru ini.

“Dengan demikian, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif mempromosi dan membangunkan pertumbuhan PKS di Pulau Pinang sebagai satu cara untuk membantu usahawan-usahawan kecil dan sederhana bagi menerokai  bidang ini,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke tapak Pusat Industri Fasa 4 di Bayan Lepas di sini baru-baru
ini.

Jelas beliau, PKS boleh dianggap sebagai tulang belakang kepada perkembangan industri di Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri mengambil langkah agresif dengan memperkenalkan tiga serampang pendekatan bagi membangunkan PKS keseluruhannya di negeri ini. Iaitu pertama, SME Market Advisory, Resource and Training Centre atau SMART diperkenalkan pada Jun 2010 yang membolehkan ahli PKS mengakses kepada perkhidmatan serta fasaliti yang disediakan. Kedua, wujudnya Pusat SME dan ketiga Perkampungan SME yang bakal dibina di Bukit Minyak dan Batu Kawan Seberang Perai,” ujarnya.

Projek PKS yang dibangunkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan mensasar dan memberi keutamaan kepada pelabur tempatan. Malah, ia bakal menjadi wadah sehenti buat rantaian bekalan di negeri ini.