Taman Mini Balik Pulau untuk kehidupan mapan rakyat

Admin
CHOW Kon Yeow (lima dari kiri), Ar. Patahiyah Ismail (kiri sekali) bersama dif-dif jemputan ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Taman Mini Balik Pulau di sini baru-baru ini.
CHOW Kon Yeow (lima dari kiri), Ar. Patahiyah Ismail (kiri sekali) bersama dif-dif jemputan ketika menyempurnakan Majlis Pecah
Tanah Taman Mini Balik Pulau di sini baru-baru ini.

 

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

BALIK PULAUDalam usaha untuk menjadikan Pulau Pinang lebih hijau, sebuah lagi taman rekreasi awam bakal diwujudkan di negeri ini  dengan  insiatif pengimplementasian kali ini adalah membabitkan tanah kerajaan PA 7209 dengan keluasan 734.44 meter persegi di sini.

Pembinaan Taman Mini Balik Pulau oleh kontraktor Pembinaan Satria telah dimulakan pada 2 April lalu dan dijadualkan  siap sepenuhnya pada 13 Mei 2013. Keunikan taman tersebut adalah ia bakal menggabungkan landskap pokok buah-buahan, teduhan dan skulptur buah pala yang sinonim dengan Balik Pulau.

Pada masa sama, taman berkenaan juga bakal mempunyai sebuah pentas mini, air pancuran dan pergola yang boleh digunakan oleh orang awam untuk menjalankan aktiviti riadah  seperti senamrobik.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, kewujudan Taman Mini Balik Pulau bakal dibina bakal menjadikan Kompleks Pasar Awam Balik Pulau (KPABP) lebih aktif dan berseri.

“Bagi merancakkan program Pulau Pinang Hijau dan Bersih, sebuah pusat kitar semula juga akan diwujudkan di kawasan KPABP,’’ katanya sempena Majlis Pecah Tanah Taman Mini Balik Pulau di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain; Yang diPertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ar. Patahiyah Ismail; Setiausaha MPPP, Ir. Ang Aing Thye dan ahli majlis MPPP.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa Kerajaan Negeri akan terus mempergiatkan usaha Pulau Pinang Hijau dan Bersih serta Program Majlis Perunding Komuniti di bawah Agenda Tempatan 21 bukan sahaja di Balik Pulau, malah, seluruh Pulau Pinang.

“Saya berharap penduduk kawasan sekitar Balik Pulau dapat memberi sokongan dan bergiat secara aktif dalam program-program yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dan MPPP dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja menghargai alam sekitar, malah, turut menjadi warga sihat,’’ jelas beliau.