Politeknik berjaya lahirkan setengah juta tenaga kerja sejak ditubuhkan

Admin

PULAU BETONG – Kira-kira setengah juta graduan dan tenaga kerja berjaya dilahirkan sejak penubuhan Politeknik di negara ini sejak 50 tahun lalu.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Muhammad Amin Hamat pada Program Sambutan Jubli Emas Politeknik Malaysia, dekat Politeknik Balik Pulau, pada 16 Mac lalu.

Persembahan kebudayaan menceriakan program Sambutan Jubli Emas Politeknik Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, jumlah tersebut dilihat memberi kesan positif kepada sistem pendidikan teknik, sumber manusia serta sektor pekerjaan khususnya dalam bidang kejuruteraan dan perkhidmatan.

“Dari segi peluang pekerjaan, selepas menamatkan pengajian, Politeknik berjaya mencapai sasaran 97 peratus mendapat kerja dalam tempoh singkat selepas menamatkan pengajian.

“Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa graduan Politeknik sangat ‘laris’ serta memenuhi kehendak industri di negara kita bahkan ada juga yang telah berkhidmat di luar negara,” ujarnya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail dan Pengarah Politeknik Balik Pulau, Abdul Hanif Mustapha.

Pelabagai acara menarik diadakan sepanjang tiga hari program berlangsung mulai 15 hingga 17 Mac lalu seperti acara sukan, tarian, jualan keusahawanan, kugiran dan lain-lain lagi.

Difahamkan, terdapat 36 buah Politeknik berjaya diwujudkan sejak tahun 1969 dengan Politeknik Ungku Omar dekat Ipoh menjadi Politeknik pertama ditubuhkan di negara ini.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI