PPAPP penuhi keperluan bacaan Braille untuk OKU penglihatan

PERBADANAN Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) sentiasa komited untuk membantu golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan di negeri ini untuk mendapatkan akses kepada pelbagai jenis bahan bacaan.

Pengarah PPAPP, Sharimah Salleh menjelaskan bahawa sejak tahun 2002, PPAPP telah berjaya menterjemah 3,420 naskhah buku kepada bahan bacaan dalam tulisan Braille demi memenuhi keperluan golongan berkaitan.

Sharimah Salleh.

Katanya lagi, bahan bacaan tulisan Braille yang dihasilkan di PPAPP terdiri daripada pelbagai genre seperti buku cerita kanak-kanak, novel, buku ulangkaji, soalan peperiksaan serta banyak lagi.

“Objektif utama kami adalah untuk meningkatkan kadar literasi dalam kalangan mereka yang mempunyai masalah penglihatan

“Kami percaya bahawa dengan memiliki lebih banyak bahan bacaan dalam tulisan Braille akan dapat membantu untuk menghapuskan stigma bahawa golongan OKU penglihatan tidak mampu melakukan apa-apa.

“Kita perlu tahu bahawa dengan membaca, ia dapat memperbayakkan perbendaharaan kata, merangsang kemahiran berfikir serta meningkatkan tumpuan dan kemahiran komunikasi seseorang.

“Oleh itu, kita harus mendorong mereka untuk membaca sebanyak mungkin buku dengan menghasilkan lebih banyak buku tulisan Braille. Jadi, itulah sebabnya kami memulakan inisiatif ini pada tahun 2002,” kata Sharimah kepada Buletin Mutiara pada 10 Mac 2021.

Projek buku Coberate

Sharimah memberitahu bahawa projek penterjemahan bahan bacaan Braille dilaksanakan di bawah projek buku Coberate yang menggabungkan tiga elemen iaitu buku biasa, tulisan Braille dan juga kolaj.

Katanya, penghasilan buku-buku berkenaan adalah bagi membantu ibu bapa atau anak-anak yang celik dapat membaca bersama-sama dengan mereka yang cacat penglihatan.

Antara buku cerita kanak-kanak yang dihasilkan di bawah projek coberate.

“Kalau buku yang 100 peratus mengandungi tulisan Braille, maka orang yang celik dan tidak menguasai tulisan ini tidak mampu untuk membacanya.

“Sebab itulah kita gunakan buku-buku biasa dan ditambah dengan tulisan Braille yang dicetak di atas bahan plastik lut sinar supaya tidak menjejaskan kandungan buku berkenaan.

“Apabila kita hasilkan buku ini dengan menggabungkan elemen-elemen tersebut, aktiviti membaca menjadi lebih seronok kerana semua ahli keluarga sama ada yang celik atau cacat penglihatan boleh membaca bersama-sama.

“Buku-buku ini pula kita hasilkan dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, kesan kolaj yang dihasilkan pada buku cerita kanak-kanak adalah untuk membolehkan golongan OKU penglihatan dapat menggambarkan rupa bentuk sesuatu objek yang dimuatkan di dalam buku yang dibaca mereka.

“Teknik yang kita gunakan adalah dengan menjadikan buku-buku ini sebagai kraf mengikut bentuk objek sama ada binatang atau benda-benda lain yang ada dalam buku.

“Contohnya, gambar buaya kita akan gunakan bulu kambing untuk hasilkan kolaj bagi membentuk tekstur supaya orang OKU penglihatan dapat menggambarkan bentuknya dengan lebih jelas melalui sentuhan,” jelasnya lagi.

Ke peringkat antarabangsa

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa projek Coberate yang dijalankan oleh PPAPP telah dibawa ke peringkat antarabangsa.

“Kita pernah membawa projek ini ke pertandingan International Federation of Library Associations and Institutions (IFLA) di Athens dan berjaya mendapat sambutan menggalakkan di sana.

“Selain itu, Coberate juga telah menjadi penanda aras bagi beberapa negara dan baru-baru ini kita juga dipertanggungjawab untuk menjadi tenaga pengajar kepada beberapa peserta untuk menghasilkan projek ini dekat Perpustakaan Negara.

“Ini kerana hanya PPAPP sahaja yang menghasilkan sendiri buku-buku Coberate ini,” jelasnya lagi.

Selain buku-buku tulisan Braille, Sharimah menjelaskan bahawa PPAPP turut menyediakan perkhidmatan mesin CCTV bagi membantu OKU penglihatan yang tidak buta sepenuhnya.

Mohd. Hazani Abdullah ketika sedang menghasilkan bahan bacaan Braille.

“Fungsi mesin ini adalah apabila kita letakkan buku di atasnya, ia boleh besarkan saiz tulisan, jadi mereka mempunyai masalah penglihatan terlalu kabur boleh membaca tulisan-tulisan tersebut.

“Kita juga ada menyediakan mesin pengimbas untuk mengimbas tulisan pada buku dan seteruskan akan dipindahkan ke skrin komputer yang disediakan menggunakan aplikasi Jaws.

“Melalui aplikasi ini, orang OKU penglihatan boleh membaca dengan cara mendengar percakapan komputer dan ini sangat memudahkan untuk mereka,” ulasnya lagi.

Cabaran

Dalam pada itu, pembantu pustakawan, Mohd. Hazani Abdullah, 37, adalah individu yang bertanggungjawab menghasilkan penterjemahan bahan bacaan tulisan Braille di PPAPP.

Beliau berkata, cabaran utama dalam penghasilan bahan bacaan Braille adalah prosesnya yang rumit dan memakan masa yang panjang bagi sesebuah buku.

“Pada permulaan proses, saya perlu imbas dahulu buku kemudian melakukan semakan perkataan supaya tidak berlaku kesilapan dan seterusnya menukarkan ia ke dalam perisian Braille.

“Buku cerita kanak-kanak hanya memerlukan masa satu hari tetapi bagi buku yang lebih tebal seperti novel akan mengambil masa beberapa hari,” jelasnya ketika ditemui Buletin Mutiara pada 10 Mac 2021.

Katanya, selain menghasilkan bahan bacaan PPAPP turut menyediakan kelas untuk mengajar golongan OKU penglihatan mempelajari tulisan Braille.

“Biasanya kita hanya akan ajar asas Braille kerana kebanyakan yang datang ke sini adalah kanak-kanak,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS