PPH Padang Cempedak, pusat pendidikan hijau holistik pertama di Malaysia

Admin

TASEK GELUGOR – Pusat Pendidikan Hijau (PPH) Padang Cempedak yang dibangunkan melalui jalinan usahasama strategik antara Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bersama-sama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Urbanest Sdn. Bhd. (Urbanest) merupakan pusat pendidikan hijau yang pertama seumpamanya di Malaysia.

 

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, pusat yang dibangunkan secara holistik di atas tanah seluas 1.4 ekar milik pihak berkuasa tempatan itu, memberi fokus terhadap Pertanian Digital (Digital Farming) dan Ekonomi Pusingan (Circular Economy).

 

ROZALI Mohamud (berkopiah) memberi penerangan kepada Ahmad Fuzi Abdul Razak (dua dari kanan) dan isteri berhubung Pusat Pendidikan Hijau Padang Cempedak di sini. 

 

“Pusat ini merupakan hasil kerjasama strategik menggunakan pendekatan pengkongsian pintar melalui Konsep 7P (People, Public, Private, Philanthropy, Philosopher and Planet Partnership) yang berteraskan sistem akuaponik, fertigasi, kompos, kraf, menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) dan sensor.

 

“Pusat ini juga bakal memberi manfaat kepada rakyat melalui pembangunan modal insan dalam melahirkan Training of Trainers (ToT) bagi pengkomposan, kebun komuniti, upcycle dan pertanian bandar melalui pelbagai metodologi bagi memastikan keberkesanan PPH ini,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pusat Pendidikan Hijau Padang Cempedak dekat sini pada 24 Oktober 2021.

 

Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd. Nor hadir menyempurnakan perasmian.

 

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang turut berucap pada majlis tersebut; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Puan Sri Datuk Seri Rohani Abdullah; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof. Dr. Marzita Puteh; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar; Ketua PPH merangkap Ketua Perunding Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif UPSI, Prof. Madya Dr. Che Zalina Zulkifli serta delegasi pensyarah, pegawai kanan dan perunding UPSI.

 

Pengarah Urusan Urbanest, G. Karthigayan selaku penaja utama; barisan Whip Parti terdiri daripada P. David Marshel; Ahmad Rizal Abd. Hamid dan Muhamad Suzuki Ahmad; Ahli-ahli Majlis MBSP; Pemangku Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid dan Ketua-ketua Jabatan serta Pegawai Kanan MBSP antara yang turut serta dalam majlis tersebut di sini.

 

MARZITA Puteh (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ahmad Fuzi Abdul Razak (tiga dari kiri) sebagai tanda kenang-kenangan. Turut kelihatan Khadijah Mohd. Nor (dua dari kanan), Jagdeep Singh Deo (dua dari kiri) dan Rozali Mohamud (kiri sekali). 

 

Dalam pada itu, Marzita ketika menyampaikan ucapan pembuka menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pembangunan PPH Padang Cempedak.

 

Terima kasih MBSP kerana memberi kepercayaan iaitu hak pengurusan sepenuhnya di atas tanah 1.4 ekar ini menerusi memorandum persefahaman yang ditandatangani pada 23 Mac 2021.

 

“Setakat ini, kejayaan PPH adalah aktiviti penanaman cili menerusi sistem fertigasi 1,200 polibeg yang berjaya mengeluarkan hasil sebanyak hampir satu tan dalam tempoh lima bulan.

 

“Hasil cili tersebut sebahagiannya disumbangkan kepada komuniti dan sebahagian lagi dipasarkan kepada kedai-kedai makan berhampiran dengan harga 50 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

 

“Selain itu, pusat ini juga bakal menjadi lapangan rujukan aktif dan terbuka kepada masyarakat, sekolah, institut pengajian tinggi serta industri sama ada pada peringkat nasional mahupun antarabangsa dalam menjadi PPH Padang Cempedak sebagai hab penyelidikan; pengkomersilan dan ekopelancongan.

 

“Kejayaan ini membuktikan bahawa MBSP cakna dalam memastikan semua penduduk di Seberang Perai menghayati dan mengaplikasikan konsep hijau lestari dalam semua aspek kehidupan,” jelasnya sambil berharap untuk menjalinkan lebih banyak projek usahasama pada masa hadapan.

 

Usai lafaz perasmian, Ahmad Fuzi kemudiannya menerima Buku Inisiatif Kelestarian Hijau hasil karya UPSI sebelum menyempurnakan gimik perasmian dengan menandatangani plak Pusat Pendidikan Hijau Padang Cempedak dan dibawa ke tapak tanaman fertigasi cili.

 

AHMAD Fuzi Abdul Razak (kiri) menyempurnakan penanaman pokok ‘Manggis Hutan’ sambil diiringi oleh Sr. Rozali Mohamud (berkopiah) di sini.

 

Ahmad Fuzi dan isteri kemudiannya menyempurnakan penanaman pokok ‘Manggis Hutan’ atau nama saintifiknya ‘Garcinia Subelliptica’ sebagai simbolik Sambutan Hari Bandaraya Seberang Perai Ke-2.

 

PPH Padang Cempedak adalah komitmen MBSP ke arah menjadikan ‘Seberang Perai Resilien, Inklusif, Hijau dan Kompetitif’ serta menjadi bandar raya mampan dan pintar ‘Aspirasi Bandar Masa Hadapan’.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR