Praktik tabiat pengasingan sampah – Rashid

BAYAN BARU – Isi rumah dan masyarakat setempat disaran mempraktikkan amalan hidup lestari dengan mengamalkan tabiat pengasingan sampah terutama melibatkan barang-barang kitar semula.

Kenyataan tersebut dinyatakan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon pada Majlis Perasmian Pusat Aktiviti dan Kempen Kitar Semula Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sungai Nibong Pantai di sini baru-baru ini.

Katanya, masyarakat setempat perlu dididik dan diberi motivasi agar menjadi ‘pengguna’ alam sekitar yang lebih prihatin.

“Pembuangan sisa yang tidak dikawal dan diasingkan bukan saja memberi kesan kepada alam sekitar, bahkan memudaratkan kesihatan manusia.

“Kita mampu mengubahnya. Pembuangan sampah dapat dikurangkan dan secara tidak langsung, barang kitar semula akan memberi pulangan nilai memberangsangkan,” ujar beliau.

Hadir sama, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), A. Kumaresan dan Sha’ari Md. Salleh, Pengerusi JKKK Sungai Nibong Pantai, Mohd. Nazri Idris dan Pensyarah Jabatan Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Zulkarnain Hatta.

Bersempena inisiatif tersebut, sebanyak empat lokasi Pusat Pengumpulan Kitar Semula diwujudkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak, antaranya, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nibong, tapak pasar malam Sungai Nibong Pantai, Pangsapuri Desa Putra dan Dewan JKKK Sungai Nibong Pantai.

Mengulas lanjut, Mohd. Rashid memberitahu, penubuhan pusat-pusat kitar semula tersebut adalah bagi memberi ruang dan kemudahan kepada komuniti setempat untuk menghantar bahan-bahan bagi tujuan pengitaran semula.

“Sampah atau bahan buangan adalah masalah yang cukup besar sekiranya tidak diuruskan dengan sempurna.

“Justeru, dengan penubuhan pusat ini, pelbagai program dapat dilaksanakan bagi menarik minat orang ramai mengitar semula barangan buangan,” jelasnya.

Turut diadakan pada majlis berkaitan adalah pertandingan mewarna, acara-acara sukan rakyat seperti tarik tali, merekacipta bahan-bahan terbuang dan cabutan bertuah.

} else {