Penduduk pertikai kualiti penyelenggaraan, minta ICU beri penjelasan – Exco

TELUK AIR TAWAR – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo baru-baru ini mengadakan tinjauan ke Pangsapuri Indah Fasa 1C, Taman Teluk Air Tawar, Seberang Perai Utara (SPU) di sini setelah menerima aduan dan rungutan daripada penduduk tentang kualiti kerja-kerja penyelenggaraan yang tidak memuaskan.

Menurut Jagdeep, kerja-kerja penyelenggaraan di Pangsapuri Indah Fasa 1C berkenaan adalah sebahagian dari program membaikpulih dan menyelenggara perumahan bertingkat di bawah Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M).

Jelasnya, penyelenggaraan tersebut adalah merangkumi kerja-kerja pembaikan bumbung, pembaikan am, pembaikan paip agihan, pengecatan semula, kerja-kerja mekanikal dan elektrikal serta pemasangan lif yang keseluruhannya berjumlah RM1,404,000.

“Dari jumlah tersebut, sejumlah 30 peratus kos atau RM324,000 ditanggung oleh Kerajaan Negeri melalui HAPPY! (Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang), manakala baki 70 peratus lagi (RM1.08 juta) ditanggung oleh TP1M.

“Walau bagaimanapun, Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan telahpun mengemukakan surat aduan kepada TP1M mempertikaikan beberapa perkara kritikal melibatkan kualiti penyelenggaraan yang rendah dan tidak sempurna serta kelewatan dalam membaiki lif dan kebocoran tangki air.

“Saya berharap agar pelaksanaan projek-projek penyelenggaraan di bawah TP1M terutama di unit perumahan yang juga menerima sumbangan HAPPY! daripada Kerajaan Negeri dilaksanakan dengan kualiti yang tinggi, mengikut spesifikasi teknikal dan tempoh masa ditetapkan,” tegasnya pada sidang media selepas lawatan berkaitan di sini baru-baru ini.

Turut sama, Pengerusi JMB Pangsapuri Indah Fasa 1C, Asma Hussain serta beberapa ahli jawatankuasa JMB berkenaan.

Jagdeep memberitahu, pihaknya telah meminta Pengarah Pesuruhjaya Bangunan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) membantu penduduk di pangsapuri berkenaan menangani masalah penyelenggaraan yang timbul.

“Malah, saya difahamkan, MPSP juga telah menulis surat kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri memohon penjelasan tentang status terkini pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan termasuk jadual penyelenggaraan di bawah TP1M.

“Saya berharap ICU dapat memberi maklum balas, kerana sehingga kini surat-surat yang saya kirimkan masih belum menerima maklum balas,” ujarnya.

Tambah Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, sebagai rekod, sehingga kini, sebanyak 118 projek penyelenggaraan di bawah TP1M masih belum diluluskan di Pulau Pinang dengan anggaran kos mencecah RM28 juta.

“Sudah berkali-kali kita (Kerajaan Negeri) menegaskan bahawa kita (Kerajaan Negeri) bersedia menampung baki yang perlu dibiayai oleh penduduk melalui HAPPY! sekiranya permohonan penyelenggaraan di bawah TP1M diluluskan.

“Memandangkan pelaksanaan perojek-projek penyelenggaraan di bawah TP1M adalah dikendalikan secara keseluruhan oleh Kerajaan Pusat, maka ICU yang mengendalikan tabung ini perlu memberi penjelasan segera dan memuaskan,” kata beliau.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);