Prestasi kewangan Kerajaan Negeri sihat, rakyat rasai kesenangan

Admin

BAGAN DALAM – Begitu banyak program sumbangan kebajikan dinikmati rakyat Pulau Pinang sejak 2008 kerana prestasi kewangan Kerajaan Negeri hari ini saban tahun berada dalam keadaan sihat.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, prestasi sihat kewangan Kerajaan Negeri tersebut turut dipuji dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara sebelum ini.

“Hutang tertunggak paling banyak adalah negeri Pahang iaitu negeri Perdana Menteri sendiri (Pahang)… di situ (Mesyuarat Majlis Kewangan Negeri) dicakap hutang (tertunggak) paling kecil adalah Pulau Pinang sebanyak RM69 juta.

“Daripada segi prestasi kewangan, memang kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini) jauh lebih baik berbanding era BN (Barisan Nasional).

“(Prestasi kewangan Kerajaan Negeri) kita baik adalah penting, malah yang lebih penting adalah rakyat merasai kesenangan sekarang lebih baik berbanding dahulu (Kerajaan Negeri era Barisan Nasional),” ujarnya yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan pada Majlis Penerangan Ketua Menteri Bersama-sama Komuniti India di Dewan Sri Mariamman di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, hutang terkumpul Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Kerajaan Persekutuan sebelum tahun 2008 adalah berjumlah RM625.44 juta, dan kini tinggal hanya RM69.36 juta.

Sebelum itu, Penasihat Strategik Kepada Ketua Menteri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika berucap memberitahu, prestasi kewangan Kerajaan Negeri yang sihat ketika ini akhirnya dinikmati dalam pelbagai bentuk bantuan kebajikan di bawah Program i-Sejahtera umpamanya.

“Apabila prestasi kewangan Kerajaan Negeri sihat, barulah semua kaum termasuk komuniti India di negeri ini dapat menikmati pelbagai program bantuan kebajikan secara langsung.

“Kerajaan Negeri beri peruntukan lebih RM84,000 setiap tahun bagi tujuan pendidikan Tamil di Pulau Pinang, dan dana ini antaranya digunakan untuk melaksanakan kelas-kelas bahasa Tamil di sekolah-sekolah kebangsaan.

“Sehingga tahun 2017, sejumlah RM17.09 juta peruntukan Kerajaan Negeri lulus untuk keperluan sekolah Tamil, tadika Tamil, sekolah Punjabi dan Tabung Khas Pendidikan Tamil,” jelasnya yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nasional.

Justeru, menurut Saifuddin, ada faktor yang besar buat rakyat, khususnya komuniti India di negeri ini untuk terus memberi mandat sokongan kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga ADUN Perai; ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh turut berucap pada majlis tersebut.