Projek tebatan banjir & saliran Taman Iping bakal manfaat 400 isi rumah

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

 

BATU MAUNG – Kerajaan Negeri melalui kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang (JPSPP) telah mereka bentuk pelan tebatan banjir dan sistem saliran bagi mengawal masalah banjir kilat di kawasan perumahan Taman Iping serta kawasan perindustrian di sini.

Sebagai pelan jangka panjang, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan RM13.6 juta bagi pelaksanaan projek tersebut yang bakal memberi manfaat kepada lebih 400 isi rumah dan beberapa pusat perindustrian serta komersial sekitar sini.

Penolong Pengarah Kanan Pengurusan Banjir JPSPP, G. Yogendran berkata, kejadian banjir kilat yang sering melanda kawasan tersebut adalah dipengaruhi oleh faktor pasang surut paras laut.

“Kawasan tadahan Sungai Nipah meliputi kawasan yang mempunyai keluasan lebih kurang 3.3 kilometer (km) dengan panjang sungai tersebut adalah kira-kira 1.77 km sehingga ke laut.

“Kerja-kerja menaik taraf saliran sedia ada akan dimulakan pada Oktober ini dan dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan sepenuhnya iaitu pada Oktober 2019,” jelasnya pada sidang media berhubung projek berkenaan dekat lokasi di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Jurutera Kanan JPSPP, Haslinda Mohamad Hamran.

Projek berkaitan bakal melibatkan kerja-kerja menaik taraf saliran sedia ada sepanjang 600 meter (m), parit monsun (650m), crossing (65m) di sebuah lokasi, pembinaan dua rumah pam baharu, pembinaan kolam takungan dan pengalihan utiliti.

Dalam pada itu, Abdul Malik melahirkan rasa syukur di atas perkembangan projek berkenaan yang sedikit-sebanyak akan membantu mengurangkan masalah banjir di kawasan terlibat, yang sekian lama telah terdedah kepada bencana sedemikian.

“Saya berharap projek ini akan siap secepat mungkin dan penduduk sekitar diharap dapat memberi kerjasama penuh serta bersabar dengan kesulitan-kesulitan yang dihadapi sepanjang projek ini berjalan,” ujarnya.