Profesionalisme tiga penguatkuasa MBPP depani provokasi dipuji

GEORGE TOWN – Profesionalisme tiga penguatkuasa wanita dalam melakukan penguatkuasaan terhadap pemilik kenderaan yang didapati menyalahi undangundang sungguhpun berdepan dengan penghinaan daripada dua lelaki, sebagaimana diviralkan dalam satu klip video berdurasi dua minit baru-baru ini, wajar menjadi contoh bagi semua kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian sebelum menyampaikan insentif berjumlah RM200 masing-masing kepada Zarina Othman serta dua rakannya, Siti Asa Abu Bakar dan Sabrina Mohd. Sabri.

“(Mereka) telah menjalankan tugas dengan sungguh profesional dan tidak ambil peduli tentang provokasi-provokasi yang dihadapi semasa mereka menjalankan tugas.

“Saya ingin ucapkan tahniah dan syabas kerana mereka telah menjaga maruah MBPP…kita (Kerajaan Negeri) harap sikap profesional ini yang akan jadi contoh,” katanya pada majlis sidang media khas di sini baru-baru ini.

Bercakap pada sidang media sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail berkata, pihaknya merakamkan penghargaan atas sokongan dan motivasi yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri kepada “pasukannya”.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) dan Wong Hon Wai (Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri) turut hadir pada majlis pemberian insentif tersebut.

Hadir sama, Setiausaha MBPP, Ir. Ang Aing Thye, Ong Ah Teong (Ahli Majlis MBPP) dan Salehudin Hashim (Pengarah Penguatkuasa MBPP).

Klip video berdurasi dua minit yang diviralkan itu antara lain mendedahkan salah seorang lelaki berkenaan memanggil “anjing” sambil melemparkan duit kompaun salah laku parkir kenderaan kepada salah seorang penguatkuasa MBPP.

Dalam pada itu, Zarina yang ditemui kemudian memberitahu bahawa sokongan Kerajaan Negeri dan MBPP memberi semangat kepada beliau serta dua rakan lain untuk melaksanakan tugas dengan profesional.

“Provokasi semasa menjalankan tugas ini memang selalu kami hadapi, tetapi kali ini paling mencabar.

“Apabila dapat sokongan tidak berbelah-bahagi daripada Y.A.B. Ketua Menteri sendiri, Datuk (Bandar) MBPP dan beberapa Ahli Majlis, kami akan meningkatkan mutu perkhidmatan kami semasa dalam tugas,” jelas Zarina kepada wartawan.

Sebelum itu, Ahli Majlis MBPP, Mohamed Yusoff Mohd. Noor mendesak tindakan tegas diambil terhadap dua lelaki berkenaan kerana dilihat mengganggu kakitangan kerajaan melaksanakan tugas.

“Sepatutnya jika mana-mana pihak yang disaman tidak berpuas hati dengan tindakan yang dikenakan, mereka boleh membuat aduan terus kepada MBPP.

“Bukannya berkelakuan biadab dengan mencaci anggota penguatkuasa dan menghina mereka dengan mencampakkan wang kompaun seperti dilakukan pemuda berkenaan,” katanya kepada pada sidang media bersama-sama Ah Teong dan beberapa Ahli Majlis MBPP lain di sini.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);