Professional indahkan Jalan Mak Mandin melalui CSR

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

MA K MAN DIN – Yang di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyeru syarikat-syarikat swasta mahupun korporat di Seberang Perai supaya mengikut jejak langkah syarikat pembuatan acuan untuk kilang elektrik dan elektronik, automotif serta komputer, Professional Tools & Dies Sdn. Bhd. (Professional) melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Landskap di sini.

Seruan itu adalah ekoran perasmian projek pengindahan secara CSR oleh syarikat terbabit di sini baru-baru ini.

YDPnya, Maimunah Mohd. Sharif berkata, difahamkan, Professional telah menanam sebanyak tujuh pokok jenis bucida molineti dan rumput cow grass yang menelan belanja sebanyak RM25 ribu tidak termasuk kos penyelenggaraan.

“Inisiatif Professional amat dihargai kerana ia dapat membantu meningkatkan mutu serta kualiti hidup melalui kebersihan dan pengindahan alam sekitar,” katanya pada majlis perasmian berkenaan di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, projek CSR Landskap tersebut telah mula dijalankan sejak Jun 2011 dengan mensasarkan penajaan syarikat korporat untuk pengindahan di luar kawasan kilang ataupun lokasi-lokasi lain.

“Melalui penglibatan syarikat-syarikat korporat secara CSR ini, ia sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan pada aspek kebersihan dan keindahan di Seberang Perai.

“Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan dengan penglibatan lebih ramai pihak sama ada persendirian mahupun komuniti pada masa akan datang,” tambah Maimunah.

Hadir sama, Pengarah Urusan Professional, Steven Lee.

Menurut Steven, Professional telah memulakan program CSR sejak 1996, tanpa pernah gagal dalam tempoh 18 tahun sebelum ini.

“Untuk program CSR kali ini, pihak Professional mensasarkan untuk mengikut visi MPSP dalam menjadikan Seberang Perai Bersih, Indah dan Selesa didiami dengan menanam pokok di sepanjang Jalan Mak Mandin,” ujar beliau.

Difahamkan, sehingga kini, sebanyak 14 lokasi projek melalui program CSR telah siap dan sedang dilaksanakan, manakala 29 buah lokasi terpilih masih belum mendapat penajaan.