Anjur program cari bakat seni tempatan

TANJUNG BUNGAH – Dalam usaha menjadikan Tanjung Bungah sebagai sebuah Bandar Warisan dan Kesenian, Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu mengorak langkah meraikan artis dalam Pameran Kesenian Tanjung
Bungah di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pameran yang diadakan di Balai Rakyat Tanjung Bungah antara lain bertujuan untuk mengutip dana bagi Persatuan St. John Ambulan Pulau Pinang dan Penang Pure Lotus Hospice of Compassion.

“Sebanyak 50 peratus hasil penjualan lukisan dan buku ‘Paint by heART’ akan diberikan kepada artis yang menjayakan pameran ini.

“Sebanyak 30 peratus akan disumbangkan untuk aktiviti-aktiviti kesenian di Tanjung Bungah dan baki 20 peratus, disumbangkan kepada persatuan berkenaan,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara pada Pameran Kesenian Tanjung Bungah di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, pameran yang menampilkan empat individu seni, Tan Eng Huat (kaligrafi), Ong Wah Peng (lukisan warna air), Jennifer Loo (kesenian tulisan Cina) dan Adam Baba (lukisan minyak) turut diserikan dengan persembahan pentas dan taklimat kesenian artis-artis tempatan.

Pameran dianjurkan secara bersama Biro Kebudayaan kawasan ADUN Tanjung Bungah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Sri Setia.

Tambah Yee Cheu, beliau kini dalam usaha mencari bakat-bakat baru yang meminati kesenian sama ada seni lukis, seni suara mahupun seni tari.

“Oleh itu, kita akan terus menganjurkan program-program kesenian serta bengkelbengkel berkaitan untuk merealisasikan aspirasi Tanjung Bungah sebagai sebuah Bandar Warisan dan Kesenian terkemuka di Pulau Pinang,” ujar beliau.