Program Jelajah Amal imarahkan masjid

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BALIK PULAU – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) buat julung kalinya mengan jurkan Program Jelajah Amal MAINPP ke masjid-masjid yang mana program tersebut merangkumi siri jelajah bagi memeriah dan mengimarahkan masjid berkaitan dengan pelbagai aktiviti.

Ahli Majlis MAINPP, Mohd. Tuah Ismail berkata, jelajah tersebut bakal mendekati dan membantu jawatankuasa masjid yang dilihat kurang mengadakan aktiviti.

“Contohnya, hari ini kita (MAINPP) turun beramai-ramai ke Masjid An-Nur Titi Teras bagi mengadakan aktiviti berbuka puasa, memberi sumbangan kepada fakir miskin dan asnaf serta tazkirah.

“Kita (MAINPP) juga akan bergerak lebih aktif selepas ini untuk memantau masjid seluruh Pulau Pinang.

“Jika kita (MAINPP) dapati jawatankuasa agak lesu, kita (MAINPP) akan adakan pertemuan untuk berbincang dengan pihak berkaitan terlebih dahulu.

“Ini kerana, apabila masjid meriah, maka masyarakat setempat pun akan turut membangun bersama,” ujarnya pada ucaptama Program Jelajah Amal MAINPP di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Majlis MAINPP merangkap Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri, Rosidi Hussain.

Pada majlis tersebut, seramai 145 asnaf dari kawasan Titi Teras menerima sumbangan Zakat Pulau Pinang (ZPP) berupa barangan keperluan serta token Hari Raya Aidilfitri.

Sebelum itu, seramai 60 anak yatim turut dibawa ke pasaraya untuk mendapatkan pakaian baru bagi sambutan perayaan tersebut.