Sentiasa jaga kesihatan sepanjang di Tanah Suci – TYT

Oleh : AHMAD ADIL MUHAMAD

KEPALA BATAS – Lebih 2,000 jemaah menyertai Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Pulau Pinang 1435H/2014 anjuran Tabung Haji (TH) di sini baru-baru ini sebagai persiapan menjalankan rukun Islam ke-lima itu kelak.

Program dua hari itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas ditemani isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Kursus tersebut merupakan jemputan kepada jemaah haji yang terpilih untuk memberikan gambaran ketika berada  di tanah suci kelak.

Abdul Rahman ketika menyampaikan ucapan perasmiannya berkata, usaha dijalankan TH merupakan pendekatan yang dapat memberi manfaat kepada para jemaah yang bakal berlepas ke tanah suci nanti.

“Ilmu yang diperoleh para jemaah haji pada malam ini adalah amat penting terutamanya kepada mereka (jemaah) yang pertama kali menjejakkan kaki ke tanah suci.

“Dengan adanya ilmu ini, jemaah haji dapat memberikan tumpuan penuh kepada ibadah haji dan umrah yang dijalankan,” katanya pada majlis berkenaan di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Datuk Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan Sohibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor (Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang).

Serentak itu, Abdul Rahman turut mengingatkan para jemaah haji supaya menjaga kesihatan masing-masing sepanjang berada di tanah suci berikutan terdapat kes penyakit berjangkit berbahaya kebelakangan ini.

“Kehadiran jutaan jemaah haji dari seluruh pelosok dunia nanti pasti akan mengundang pelbagai dugaan kepada jemaah haji tempatan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan jemaah haji supaya tidak menjalankan aktiviti-aktiviti yang dirasakan tidak perlu seperti membeli-belah bagi mengurangkan risiko kesihatan,” ujar beliau.