Program Pertanian Bandar perlu dilaksana secara proaktif – Exco

AIR ITAM – Warga Pulau Pinang digalakkan untuk menjadikan sektor pertanian bandar sebagai sebahagian dari sumber menjana pendapatan seterusnya membantu penduduk bandar, khususnya, mengurangkan kos sara hidup.

Seruan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika hadir merasmikan Program Pertanian Bandar di Kampung Bharu, Jalan Padang Tembak di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pertanian bandar merupakan salah satu inisiatif dalam memastikan rantaian pembekalan sumber makanan sentiasa mencukupi dan terjamin.

“Inisiatif Program Pertanian Bandar ini merupakan program yang membantu isi rumah meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri sebahagian bahan makanan yang diperlukan melalui bimbingan Jabatan Pertanian.

“Memandangkan Pulau Pinang mempunyai sumber tanah yang amat terbatas, saya mahu melihat pendekatan yang dijalankan ini diperluaskan lagi di semua kawasan perumahan supaya tahap pengeluaran dan produktiviti hasil tanaman mencapai tahap optimum serta bukannya bergantung kepada pembukaan tanah semata-mata,” katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Joseph Ng Soon Siang dan Lee Chun Kit serta Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Ahmad Munir Yusoff.

Tambah Guan Eng, urbanisasi menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan kos sara hidup.

“Dianggarkan kadar urbanisasi sekitar 2.4 peratus setahun dan hampir 72 peratus penduduk Malaysia tertumpu di 20 buah bandar utama dalam negara.

“Penduduk bandar kini terbeban dengan kadar harga makanan yang sentiasa meningkat dan dianggarkan sejumlah 50 peratus
hingga 70 peratus pendapatan digunakan untuk perbelanjaan makanan,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut Afif, bagi memenuhi keperluan makanan negara, sektor pertanian tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada sumber makanan import.

“Oleh itu, Program Pertanian Bandar ini perlu dilaksanakan secara proaktif bagi memastikan kecukupan dan keselamatan bekalan makanan negara.

“Pengintegrasian aktiviti pertanian dalam perancangan dan pembangunan bandar adalah penting untuk memastikan pembangunan yang mampan dan ini termasuklah proses penghijauan persekitaran, pengurusan air dan sisa buangan, pendidikan serta riadah.

“Saya berharap agar program ini dapat menyumbang kepada sektor agro-makanan sekaligus meningkatkan pendapatan bukan sahaja untuk isi rumah yang menjalankan program ini, malah juga buat negeri,” ujar beliau.

Dalam majlis sama, wakil-wakil Jabatan Pertanian Negeri turut memberi tunjuk ajar teknik-teknik penanaman yang boleh diamalkan serta mengedarkan beberapa kampit tanah berbaja, anak pokok dan pasu kepada penduduk setempat.

} else {