Program Santai Rakyat dekatkan pemimpin, komuniti

PENANTI – Siri-siri Program Santai Rakyat yang dianjurkan sepanjang tahun lalu, dengan meliputi kelima-lima daerah adalah bagi membolehkan para pemimpin negeri terus mendekati komuniti setempat.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata demikian semasa merasmikan Program Santai Rakyat Peringkat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Padang Homestay Mengkuang Titi di sini baru-baru ini.

“Semua program yang dianjurkan benarbenar santai, kerana komuniti mahu program santai sebegini di sini.

“Tujuan program ini diadakan antara lain supaya pemimpin boleh saling berinteraksi dengan rakyat setempat di sini, mengenai rancangan pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini,” katanya pada majlis berkaitan.

Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat tersebut turut memberi penjelasan mengenai rancangan pembangunan yang telah dilaksanakan serta akan diusahakan oleh Kerajaan Negeri bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh, khususnya di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penanti.

Hadir sama, Pegawai Daerah SPT, Zulkifli Long serta Zainal Abidin Saad (Pegawai Khas bagi Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail).

Seawal jam 8.00 pagi lagi, lebih 20 wanita menyertai senamrobik dan tarian zumba di sini.

Turut dilangsungkan, pelbagai acara sukan rakyat lain, antaranya, lari dalam guni, sambut belon berair, berbasikal lambat, boling padang, tarik tali, pertandingan mewarna, ukiran buah tembikai dan menggubah bunga. Pasukan Bomba dan Penyelamat (Bomba), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Perpustakaan Pulau Pinang, gabungan Klinik-klinik Kesihatan SPT antara agensi kerajaan yang mengadakan pameran di sini.

Bersempena penganjuran berkaitan, seekor lembu turut ‘ditumbangkan’ untuk kenduri rakyat, dengan dimasak secara gotong-royong.}