Program tanaman hidroponik bantu golongan B40 kurangkan kos sara hidup

Admin

KEPALA BATAS – Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri memperkenalkan program penanaman sayur-sayuran hidroponik dalam usaha membantu masyarakat menangani masalah kos sara hidup yang kini semakin meningkat.

Lay Hock Peng.

Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng berkata program tersebut diberikan keutamaan kepada individu atau komuniti yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) di sekitar kawasan Seberang Perai Utara (SPU).

“Kita jalankan program ini dengan kerjasama sebuah syarikat swasta, Villi Global Sdn. Bhd. yang mempunyai pengalaman luas dalam membangunkan penananam sayur-sayuran organik menggunakan kaedah hidroponik.

“Selain mengurangkan kos sara hidup, program ini juga boleh dijadikan sebagai satu hobi untuk keluarga atau komuniti di samping mereka berpeluang mendapatkan sumber makanan yang sihat.

“Kita akan mulakan program ini di daerah SPU terutamanya dalam kawasan Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor khusus untuk golongan B40,” katanya pada sidang media dekat sini semalam.

Antara set tanaman hidroponik yang dibangunkan oleh syarikat Villi Global.
Andriew Lim menunjukkan sayuran yang terhasil daripada kaedah penanam hidroponik.

Beliau berkata, sebagai permulaan, pihaknya telah menyediakan kira-kira 20 set tanaman hidroponik untuk diagihkan kepada persatuan penduduk Pangsapuri Seri Serdang dekat Kepala Batas.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang yang telah menyumbangkan 30 set tanaman hidroponik untuk diagihkan kepada penduduk B40 yang terpilih.

“Bagi mereka yang berkemampuan dan berminat untuk menjalankan program ini dengan menghubungi kami tetapi mereka perlu mengeluarkan sendiri kos mengikut model tanaman yang diinginkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Villi Global, Andrew Lim berkata melalui kerjasama tersebut, syarikatnya akan memberikan bantuan dalam aspek teknikal.

“Bagi permulaan, kita akan sediakan set lengkap yang diperlukan untuk mereka memulakan penanaman sayuran hidroponik seperti benih, sayur dan baja organik.

“Set tanaman yang kita bangunkan adalah pelbagai jenis bergantung kepada permintaan , kos dan kesesuaian kawasan kediaman dan semua peralatan ini disediakan sediri oleh pihak syarikat.

“Selepas itu, sekiranya mereka berdepan masalah berkaitan teknikal, kita akan sediakan perkhidmatan nasihat kepada para peserta,” katanya sambil menambah bahawa sistem hidroponik yang diperkenalkan oleh Villi Global telah mendapat pengiktirafan daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILA NOORAZIS