Projek pembesaran LTABL lewat dari jadual, menteri perlu pantau

Admin
KENDERAAN lalulintas di LTABL terjejas ekoran banjir kilat yang berlaku di sini baru- baru ini.
KENDERAAN lalulintas di LTABL terjejas
ekoran banjir kilat yang berlaku di sini baru-
baru ini.

BAYAN LEPAS – Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) terjejas teruk apabila paras air naik mencecah satu inci di beberapa bahagian terminal rentetan hujan lebat di sini baru-baru ini.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dalam surat beliau kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha bertarikh 12 Mac lalu, menyatakan bahawa LTABL sejak beberapa minggu lalu berada dalam keadaan yang amat menyedihkan dan sekaligus memohon agar Cho Ha memantau projek pembesaran LTABL tersebut.

“Kerja-kerja yang dijalankan tidak sempurna sehingga menyebabkan berlakunya kebocoran dan banjir bukan sahaja di kawasan luar lapangan terbang tersebut, malah, juga di dalam terminal”.

“Bencana yang terjadi ini telah menyebabkan gangguan dan memberi kesukaran kepada penumpang lapangan terbang,” ujar Guan Eng yang turut menyatakan bahawa projek pembesaran lapangan terbang melibatkan peruntukan berjumlah RM250 juta kini juga lewat dari yang dijadualkan.

Tambah beliau lagi, situasi terbabit amat memalukan dan amat serius memandangkan ia (lapangan terbang) merupakan destinasi yang memberi gambaran pertama kepada para pelancong yang melawat Pulau Pinang.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Bahagian Komunikasi Korporat Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) dalam kenyataan akhbar bertarikh 15 Mac lalu, memohon maaf atas insiden yang berlaku dan berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana prihatin dengan insiden berkenaan.

Kata kenyataan itu, MAHB dalam pada itu memohon kerjasama dan kesabaran penumpang serta pengunjung LTABL memandangkan kerja-kerja penyelenggaraan masih giat dijalankan.

“Projek pembesaran dan naik taraf LTABL turut melibatkan penukaran 44 pam pemboleh tenggelam (submersible pump) yang mampu mengelakkan kejadian banjir atau air bertakung walaupun ketika hujan lebat. Projek yang giat dijalankan sejak setahun lalu, bakal siap sepenuhnya menjelang bulan Jun 2012,’’ jelas kenyataan itu.