Projek pembinaan semula pasar awam Seberang Jaya jangka siap Mac 2023

Admin

SEBERANG JAYA – Projek pembinaan semula bangunan pasar awam dan pusat penjaja Mukim 1, Seberang Jaya yang bermula sejak tahun 2019 dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2023.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pasar awam dan pusat penjaja tersebut dibangunkan di atas tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) seluas 12.5 ekar membabitkan kos kira-kira RM19.5 juta.

“Kos pembangunan semula projek ini dibiayai sepenuhnya oleh pihak pemaju, Zubicon Development Sdn.Bhd. secara subsidi silang daripada keuntungan pemajuan perumahan dan komersial.

Katua Menteri bersama-sama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri melawat tapak pembinaan kompleks pasar awam dan pusat penjaja Seberang Jaya.

“Pembangunan semula ini melibatkan empat plot tanah merangkumi pasar awam serta pusat penjaja seluas 4.1 ekar; projek pembangunan bercampur (4 ekar); projek komersial (1.02 ekar) dan tempat letak kereta (3.34 ekar).

“Apabila siap kelak, kompleks pasar awam serta pusat penjaja ini akan diserahkan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi pengurusan dan milikan,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran pembinaan semula pasar awam dan pusat penjaja berkenaan dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad; Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Aziz Bakar; Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Hamid Abdul Hamid serta Pengarah Zubicon Development Sdn. Bhd., Lim Beng Keong.

Mendengar penerangan mengenai projek daripada pemaju.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata bahawa pasar awam dan pusat penjaja berkenaan bakal dilengkapi dengan kemudahan sistem solar, ruang niaga luar dan 450 lot parkir demi keselesaan peniaga serta penduduk di kawasan ini.

“Malah, pasar awam ini juga ditukar nama kepada Pasar Rakyat bagi mengekalkan semangat komuniti melalui penyediaan pelbagai kemudahan dan reka bentuk projek pembangunan semula ini.

“Justeru, adalah diharapkan agar pembinaan semula projek ini dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di Seberang Jaya dan Seberang Perai Tengah,” katanya.

Tambah Kon Yeow, projek pembinaan semula pasar awam dan pusat penjaja tersebut juga selaras dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

“Ia juga menandakan satu lagi peristiwa penting dalam pertumbuhan serta kemajuan negeri ini daripada segi pembangunan insfrastruktur yang seimbang antara bahagian pulau dan Seberang Perai,” ulasnya lanjut.

Lokasi pasar awam baharu.

Sementara itu, Aziz memberitahu bahawa projek perkembangan pembinaan semula kompleks pasar awam serta pusat penjaja berkenaan kini berada pada tahap 30 peratus.

“Projek ini bermula pada tahun 2019 tetapi mengalami sedikit kelewatan ekoran beberapa masalah berkaitan trafik dan reka bentuk yang perlu memenuhi konsep Indeks Bangunan Hijau.

“Namun begitu, kita yakin bahawa projek ini dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan demi kemudahan peniaga serta penduduk di kawasan Seberang Jaya,” ujarnya.

Mengadakan sidang media sejurus selepas merasmikan pelancaran.

Dalam pada itu, Azhar sebelum itu memaklumkan bahawa Pasar Rakyat berkenaan akan menempatkan peniaga serta penjaja berlesen dan tidak berlesen dari pusat penjaja sedia ada.

“Ketika ini, semua peniaga sama ada yang berlesen atau tidak berlesen telah ditempatkan di pasar awam sementara, bersebelahan bangunan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FFM) dekat Jalan Tenggiri 2,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS