Labuh 42 tukun tiruan bakal manfaat lebih 1,000 nelayan pesisir pantai – Exco

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAYAN LEPAS – Sejumlah 42 unit tukun tiruan yang dilabuhkan di sekitar perairan Pulau Kendi di sini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 1,000 nelayan pesisir pantai di sekitar kawasan Teluk Kumbar, Gertak Sanggul dan sebahagian Balik Pulau.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada RM600,000 yang diperuntukan Kerajaan Negeri untuk projek-projek berkaitan sektor perikanan di negeri ini.

“Projek penanaman tukun ini adalah langkah untuk menambah dan membiakkan populasi ikan di sini.

“Sejurus dilabuhkan ke dasar laut dengan kedalaman kira-kira 40 kaki, ia akan dipantau selama enam bulan oleh pihak SIRIM (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia),” jelasnya ketika melakukan tinjuan Projek Inovasi Tukun Kerajaan Negeri 2016 berhampiran Pulau Kendi di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim.

Turut serta, Pegawai Daerah Barat Daya, Ederis Mat Din, Mohd. Azhar Ahmad (Pengarah SIRIM Wilayah Utara), Azrul Mahathir Aziz (Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri, PPK Bayan Lepas) dan Mohd. Tuah Ismail (PPK Pulau Betong).

Difahamkan, tukun tiruan jenis sama turut diletakkan di perairan Pulau Aman. Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Azhar menyatakan bahawa terdapat tiga jenis tukun tiruan yang digunakan iaitu isfad, trifad dan tetrafad.

“Keberkesanan tukun-tukun tiruan jenis ini, iaitu konkrit seramik ringan telah terbukti apabila negeri Johor dan Sabah turut menggunakan jenis yang sama,” jelasnya.