Projek pengukuhan bekalan elektrik TNB bantu rancakkan pembangunan negeri

Admin

SEBERANG JAYA – Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Melalui Sambungtara Talian Atas yang dibangunkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat membantu merancakkan lagi pembangunan negeri ini secara menyeluruh.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek tersebut penting untuk menjamin kestabilan bekalan elektrik di Pulau Pinang pada masa depan memandangkan ketiga-tiga talian penghantaran bekalan sedia ada sudah berusia antara 20 hingga 30 tahun.

“Talian penghantaran atas ini mempunyai kapasiti tenaga elektrik jauh lebih tinggi iaitu sehingga 2,000 megawatt (MW) berbanding kapasiti dengan kaedah kabel bawah jambatan dan kabel dasar laut yang sedia ada.

Ketua Menteri ketika menyempurnakan gimik pelancaran Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Melalui Sambungtara Talian Atas oleh TNB.

“Saya difahamkan bahawa lebih 2,000MW adalah kapasiti tenaga yang diperlukan bagi sesebuah negeri maju seperti Pulau Pinang sekiranya (negeri ini) mahu membangun dengan kadar lebih pesat berbanding prestasi ketika ini.

“Sebab itulah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat bersetuju dan memberikan sokongan penuh bagi menjayakan projek ini yang dilihat mampu memberi jaminan bekalan elektrik di seluruh negeri khususnya di bahagian pulau.

“Kita boleh merancang dengan teliti dan menyusun strategi untuk projek-projek gergasi, namun ia tidak boleh dicapai tanpa bekalan tenaga yang mencukupi dan stabil,” katanya semasa melancarkan projek berkenaan dekat sini pagi tadi.

Turut hadir, Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir. Baharin Din; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ir. Baderul Amin Abdul Hamid serta wakil-wakil agensi Kerajaan Persekutuan.

Menara penghantaran monopole akan dibina selari dengan Jambatan Pulau Pinang dan bakal menjadi mercu tanda ikonik baru bagi Pulau Mutiara.

 

Kon Yeow berkata, projek berimpak tinggi yang menelan kos lebih RM500 juta itu akan terletak selari dengan Jambatan Pulau Pinang dan bakal menjadi satu lagi mercu tanda ikonik untuk negeri ini.

“Sebuah talian atas penghantaran monopole dengan rekaan unik sepanjang 8.5 kilometer (km) akan dibina dari Pencawang Masuk Utama (PMU) dan Stesen Janakuasa (SJ) Perai ke PMU The Light di bahagian pulau.

“Projek seumpama ini adalah yang kedua dilaksanakan di negara ini selepas negeri Melaka,” ulasnya lanjut.

Kon Yeow dalam pada itu turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan inisiatif TNB memodenkan Grid Nasional menjadi grid pintar yang stabil serta berdaya harap dalam memenuhi keperluan peralihan tenaga negara.

“Pelan Peralihan Tenaga Negara akan bertanggungjawab membawa pertumbuhan perniagaan yang positif dengan peralihan besar kepada Tenaga Boleh Baharu (RE) dan teknologi hijau.

“Ini tentunya memenuhi komitmen terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang menjadi tuntutan global masa kini.

“Suka saya nyatakan bahawa inisiatif ini juga selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang giat melestarikan dan memanfaatkan perkembangan teknologi terkini ke arah mewujudkan persekitaran bersih, hijau dan sihat,” jelasnya.

Sementara itu, Takiyuddin menyatakan bahawa projek yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024 itu akan memastikan penduduk dan pelabur di Pulau Pinang terus menerima bekalan elektrik yang stabil berikutan peningkatan permintaan sejajar pemulihan ekonomi pasca pandemik.

“Pengekalan kestabilan ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai bidang termasuk perindustrian, pembangunan infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan.

“Malah, talian penghantaran ini sendiri bakal menjadi daya tarikan pelancong dengan enam daripada 31 menara mempunyai reka bentuk ikonik berbentuk buah pinang.

“Justeru, saya merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang atas keprihatinan beliau untuk melancarkan projek yang berimpak tinggi kepada negeri ini,’’ katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : LAW SUUN TING