Projek pertanian bandar di Grand View mula tuai hasil

Admin
bc3b9226 0846 432f ae6c fc1d205c45a0

PULAU TIKUS – Projek Pertanian Dalam Bandar hasil inisiatif Sejati Madani, dalam memperkasa komuniti di Grand View dekat Jalan Tanjung Tokong di sini mula menuaikan hasil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng berkata, usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen bersama antara kerajaan dan komuniti setempat untuk membina kapasiti ekonomi serta sosial secara menyeluruh.

“Melalui inisiatif Sejati Madani, projek melibatkan komuniti di Grand View adalah yang pertama di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Tikus ini.

“(Dan) kita akan cuba perbanyakkan projek seumpama ini di sini (KADUN Pulau Tikus),” ujarnya pada Majlis Pelancaran Pertanian Dalam Komuniti di sini petang tadi.

img 1500

Hadir sama, isteri kepada Ketua Menteri, YABhg. Puan Tan Lean Kee; Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri, Lai Hon Meng dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Persiaran Gurney, Tan Chen Tan.

Menurut Sze Zeng, menerusi projek Pertanian Dalam Bandar ini, komuniti di Grand View bekerjasama dengan pihak Vitrox dan berjaya menghasilkan kira-kira 300 kilogram pelbagai jenis sayur-sayuran dengan anggaran jualan adalah sebanyak RM4 sekilogram.

Bercakap mengenai inisiatif Sejati Madani, Sze Seng memberitahu bahawa Kerajaan Persekutuan memperuntuk RM1 bilion setahun berlandaskan kepercayaan terhadap kuasa rakyat untuk menjadi peneraju perubahan dalam meningkatkan ekonomi di samping memperkasakan komuniti.

“Inisiatif ini (Sejati Madani) bermula dua tahun lalu sebagai iltizam untuk mengangkat rakyat sambil memperkasakan keselamatan makanan.

“Tahun ini, Perdana Menteri menyediakan peruntukan RM1 bilion khusus untuk menyokong inisiatif ini.

“Kita mahu inisiatif ini menjadi kolaborasi antara kerajaan dan komuniti, korporat tanpa mengira latar belakang.

“Sekiranya ada idea dan semangat, boleh memohon Sejati Madani ini bagi melaksanakan projek memperkasakan ekonomi dan komuniti,” jelasnya.

Dalam pada itu, Chen Tat ketika ditemui memberitahu bahawa projek bernilai RM98,000 adalah hasil geran inisiatif Sejati Madani.

“Projek ini (pertanian dalam bandar) mengambil masa enam bulan untuk persiapan di kawasan berkeluasan 3,000 kaki persegi.

“Dari segi kos pula boleh dikatakan agak menjimatkan kerana kamera litar tertutup di sini menggunakan solar, siraman pula melalui sistem Internet of Things (IoT), jadi sekiranya hari hujan maka ia akan mengurangkan proses siraman,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ENG KOK WEI