Projek rintis pelepasan nyamuk Aedes ber-Wolbachia diharap sumbang kepada penurunan kes denggi negeri – Kon Yeow

BATU MAUNG – Pelepasan nyamuk Aedes ber-Wolbachia di tiga lokaliti kepadatan penduduk tinggi di Pulau Pinang diharap dapat menyumbang kepada penurunan kes denggi di negeri ini.

Tiga kawasan berkenaan iaitu Flat Inderawasih di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Flat Taman Manggis (Daerah Timur Laut, DTL) dan Flat Bukit Gedung (Daerah Barat Daya, DBD) merupakan antara tiga daripada lapan lokaliti ditetapkan pada peringkat kebangsaan bagi melaksanakan projek rintis fasa kedua berkenaan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada majlis pelancarannya pagi ini berkata bahawa operasi pelepasan telur nyamuk Aedes ber-Wolbachia di ketiga-tiga lokaliti berkenaan telah dimulakan sejak 19 November tahun lalu.

“Sebanyak kira-kira 433, 500 telur nyamuk Aedes Aegypti yang disuntik bakteria Wolbachia telah dibekalkan oleh pihak Institut Penyelidikan Perubatan dan ia telah dilepaskan di tiga lokaliti berkenaan.

“Sasaran pelepasan nyamuk ini adalah supaya nyamuk Aedes dewasa yang mempunyai Wolbachia mencapai frekuensi melebihi 80 peratus dan sekaligus menggantikan populasi nyamuk liar pembawa penyakit.

“Dan, hasilnya penularan denggi akan dapat dibendung memandangkan nyamuk Aedes ber-Wolbachia ini tidak lagi berupaya memindahkan virus denggi kepada manusia,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Projek Nyamuk Aedes Ber-Wolbachia Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2020 di Flat Bukit Gedung dekat sini pagi ini.

Difahamkan, Fasa Pertama Projek Pelepasan Nyamuk Aedes ber-Wolbachia oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada bulan Julai lalu mencatatkan penurunan kes denggi di antara 60 hingga 80 peratus.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Dato’ Abdul Halim Hussain (Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Batu Maung); Teh Lai Heng (Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Komtar); A. Kumaresan (ADUN Batu Uban) dan Dr. Asmayani Khalib (Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang).

Melalui analisa risiko yang dijalankan oleh Australian Commonwealth Scientific and Industrial Research Organization (CSIRO) pada tahun 2011 mendapati bahawa, inisiatif menggunakan nyamuk Aedes ber-Wolbachia berkaitan adalah selamat dan tidak memberikan sebarang risiko kepada manusia mahupun alam sekitar.

Dalam pada itu, Afif memberitahu bahawa nyamuk yang disuntik dengan Wolbachia merupakan satu pendekatan inovasi dalam menangani peningkatan kes demam denggi.

“Bakteria Wolbachia disuntik ke dalam telur nyamuk Aedes Aegypti melalui kaedah ‘Micro-Injection’ yang akan merencatkan perkembangan virus denggi, Zika dan Chikungunya dalam badan nyamuk yang dijangkiti.

“Wolbachia adalah bakteria yang hidup dalam sel serangga dan diwarisi oleh generasi yang seterusnya melalui telur.

“Bakteria ini lazimnya ditemui pada 60 peratus jenis serangga tetapi tidak dijumpai secara semulajadi pada nyamuk Aedes Aegypti,” jelas beliau.

Justeru, Afif yang juga ADUN Seberang Jaya menyeru penduduk setempat, wakil komuniti, jabatan dan agensi berkaitan serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) agar dapat memberikan kerjasama, komitmen dan sokongan bagi menjamin kelangsungan dan kejayaan program berkenaan.

“Jangan pula selepas ini, ada pihak-pihak yang menjalankan semburan kabus (fongging) di kawasan yang telah dilepaskan nyamuk Aedes ber-Wolbachia ini… jika ini berlaku, nyamuk-nyamuk ini pun akan mati bersama-sama bukan saja nyamuk Aedes pembawa penyakit.

“Zon linkungan semburan kabus mesti sejauh 200 meter daripada kawasan projek pelepasan nyamuk Aedes ber-Wolbachia,” serunya lanjut.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG
Video : LAW SUUN TING