Projek terowong dasar laut boleh dilaksanakan, tunggu ulasan bertulis dua agensi – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang belum memuktamadkan sebarang keputusan berhubung kajian kebolehlaksaaan projek terowong dasar laut yang telah dibentangkan kepada Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco) pada Februari lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa barisan pimpinan Kerajaan Negeri (Exco) telah mengambil maklum berhubung penemuan kajian terowong dasar laut tersebut yang dibentangkan oleh syarikat konsesi Consortium Zenith Construction (CZC) baru-baru ini.

Berdasarkan penemuan kajian, projek tersebut boleh dilaksanakan namun tertakluk kepada pelbagai pematuhan dan syarat teknikal.

“(Dan) mesyuarat (Exco) telah mengarahkan Yang Berhormat Zairil Khir Johari (selaku Exco Infrastruktur dan Pengangkutan) serta Penang Infrastructure Corporation (PIC) untuk mendapatkan ulasan bertulis daripada dua agensi penting iaitu Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) dan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB),” ujarnya pada sidang media di Komtar pada 11 Mac 2022.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, ulasan secara bertulis tersebut diperlukan supaya pihak Kerajaan Negeri dapat membuat pertimbangan lanjut meskipun hasil kajian kebolehlaksanaan secara teknikalnya menunjukkan bahawa projek terowong dasar laut berkaitan boleh dilaksanakan.

“Oleh sebab terowong tersebut melintasi laluan dan melibatkan pergerakan kapal di Selat Pulau Pinang maka ulasan secara bertulis perlu (diperoleh daripada PPC dan PPSB).

“(Dan) kita (Kerajaan Negeri) akan meneliti ulasan tersebut sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya yang berharap agar agensi berkaitan dapat segera memberi ulasan tersebut.

Tambah Kon Yeow, sebarang pertimbangan dan keputusan muktamad mengenai projek berkaitan hanya akan dibuat setelah pihaknya menerima ulasan bertulis daripada PPC dan PPSB.

Sebelum ini, Kon Yeow mengumumkan bahawa kajian kebolehlaksanaan hanya melibatkan pembinaan terowong dasar laut sahaja dan tidak melibatkan pembinaan jambatan seperti yang dicadangkan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : CHAN KOK KUAN