Promosi kompaun letak kereta pada kadar RM5.00 sehingga 31 Disember ini

SEBERANG JAYA – Pesalah yang menerima kompaun bagi kesalahan letak kereta daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kini boleh menyelesaikan kompuan mereka pada kadar RM5.00 sahaja bagi setiap kesalahan.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, kadar tersebut hanya sah bagi tempoh promosi pengurangan kompaun letak kereta yang dijalankan mulai 16 September sehingga 31 Disember 2019.

Pada sidang media yang sama, Rozali turut merasmikan Ruang Media dekat Lobi Menara Bandaraya MBSP bagi kemudahan para pemberita.

“MBSP menjalankan promosi pengurangan kompaun letak kereta ini sebagai satu cara untuk menggalakkan orang ramai membuat pembayaran kompaun.

“Justeru, pesalah yang menerima kompaun boleh jelaskan kompuan pada kadar RM5.00 dalam tempoh masa ditetapkan kecuali kompuan yang telah didaftarkan untuk tindakan mahkamah dan atas kesalahan meletak kenderaan di petak Orang Kurang Upaya (OKU),” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh dekat Menara Bandaraya MBSP, di sini pagi ini.

Turut serta, Ahli Majlis bagi MBSP, David Marshel dan Shuhada Abdul Rahim; Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod; ketua-ketua jabatan serta barisan pegawai MBSP.

Tegas Rozali lagi, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas termasuk pendakwaan di mahkamah dan menunda kenderaan bagi mereka yang mempunyai tunggakan kompaun melebihi 10 kompaun.

“Oleh itu, MBSP berharap dengan peluang yang diberikan ini dapat dimanfaatkan oleh warga bandar raya Seberang Perai yang mempunyai kompaun letak kereta tertunggak untuk menjelaskan kompaun mereka dalam kadar segera,” serunya.

Difahamkan, sebanyak 37,457 keping kompaun telah dijelaskan sejak tempoh promosi berlangsung sehingga 25 September lalu dengan kutipan hasil sebanyak RM206,440.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD