Pengusaha babi guna konsep ladang tertutup dikecualikan bayaran caruman perparitan sehingga RM5,000 per ekar

Admin

SEBERANG PERAI –Pengusaha babi yang mahu menukar sistem ladang terbuka kepada konsep ladang tertutup bakal dikecualikan bayaran caruman perparitan di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sebanyak RM5,000 per ekar.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh dekat Menara Bandaraya MBSP, di sini pagi tadi.

Menurut beliau, pengecualian pembayaran caruman perparitan tersebut akan diberikan kepada pengusaha-pengusaha sedia ada yang menukar sistem ladang terbuka kepada ladang tertutup dalam tempoh sehingga 31 Disember 2019 ini sahaja.

“Justeru, diharapkan pengusaha-pengusaha terlibat dapat mengambil peluang ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Rozali memaklumkan bahawa MBSP juga meluluskan cadangan pengecualian Permohonan Kebenaran Merancang kepada penguasaha babi sedia ada untuk menaik taraf fasiliti kepada konsep ladang tertutup.

“Enakmen Penternakan Babi 2016 yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2018 juga diberikan pengecualian Kebenaran Merancang sehingga 31 Disember ini.

“Setelah tamat tempoh, mana-mana penternak yang ingin menaik taraf ladang mereka kepada sistem tertutup perlu mengemukakan Pelan Kebenaran Merancang dengan kos melebihi RM50,000 bergantung kepada keluasan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, MBSP juga juga bersetuju agar kesemua 172 pengusaha babi sedia ada di Seberang Perai sama ada berlesen atau tidak adalah tertakluk kepada Pengecualian Kebenaran Merancang dan hanya perlu mengemukakan Pelan Bangunan.

“Lebih 60 daripada 172 pengusaha babi sedia ada dari ketiga-tiga daerah Seberang Perai iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan membuat permohonan pelan bangunan dan telah mendapatkan kelulusan,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD