Proses kelulusan rumah awam negeri ketat & teliti, tidak wujud ‘duit kopi’ – Exco

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Proses permohonan perumahan awam di Pulau Pinang yang disaring oleh Jawatankuasa Penambahbaikan Proses Pemilihan (SPEC) adalah sangat ketat dan teliti serta tidak wujud sebarang anggapan bahawa proses tersebut membenarkan bayaran deposit jaminan rumah.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, anggapan sedemikian adalah tidak berasas dan mesti diperjelaskan supaya para pemohon tahu dan sedar bahawa proses pemilihan yang dilakukan oleh SPEC dalam menentukan kelayakan permohonan adalah sangat teliti berdasarkan beberapa kriteria.

Antaranya, jelas Jagdeep, adalah julat pendapatan isi rumah, bilangan anak dan jumlah hartanah yang telah dimiliki pemohon sebelum kelulusan diberikan.

“Maka, dakwaan kononnya wujud elemen rasuah seperti yang didakwa oleh sebuah parti politik dalam satu sidang media pada 29 Ogos lalu adalah tidak berasas.

“Proses permohonan perumahan awam di negeri ini sangat ketat, sangat teliti sehinggakan tidak timbul soal pembiayaan deposit jaminan atau ‘duit kopi’ kepada individu tertentu bagi mendapatkan rumah.

“(Dan) Kerajaan Negeri memandang serius dakwaan sedemikian,” ujarnya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun.

Bagaimanapun, Jagdeep memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat pihak yang melakukan kegiatan tertentu untuk mengaut keuntungan.

“Insiden sedemikian (mengambil deposit jaminan daripada pemohon) pernah berlaku sebelum ini dan kita (Kerajaan Negeri) telah membuat laporan serta menyerahkan segalagalanya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana individu yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan tidak bermoral itu sehingga menjejas nama baik dan imej Kerajaan Negeri,” ujarnya yang meminta mana-mana individu atau pemohon yang menjadi mangsa supaya tampil membuat laporan polis.

Jagdeep dalam pada itu turut menasihati orang ramai terutama pemohon perumahan di Pulau Pinang supaya berhati-hati dengan:-

  • Individu yang mendakwa bahawa mereka boleh membantu mempercepatkan proses atau memintas proses pemilihan yang dilakukan SPEC.
  • Mengaku sebagai pegawai dari Bahagian Perumahan Negeri Pulau Pinang.
  • Meminta pembayaran deposit jaminan yang mana adalah tidak wujud sama sekali syarat sedemikian.

“Sekiranya wujud sebarang kekeliruan atau ketidakpastian berhubung permohonan perumahan awam di negeri ini, pemohon boleh terus menghubungi saya atau mana-mana pegawai di pejabat saya,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa SPEC.

Sejak Ogos 2013, SPEC telah menyaring 33,606 permohonan iaitu 17,505 pemohon Jenis A (kos rendah), 5,504 pemohon Jenis B (kos sederhana rendah), 2,112 pemohon Jenis C1 (RM200,000), 6,981 pemohon C2 (RM300,000) dan 1,504 pemohon Jenis C3 (RM400,000).

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);