Pulau Pinang berpotensi jadi ‘Switzerland’ Wakaf Global

c0b3c84c 6bee 4e14 ac0d cf61290302a8 MOHD Ghazali Md Noor (kanan), Rosidi Hussain (tengah) dan moderator dalam satu forum yang berlangsung sempena Sidang Kemuncak Pembangunan Wakaf Pulau Pinang 2026 di Masjid Habib, dekat Tanjong Tokong, semalam.

TANJUNG BUNGA — Pulau Pinang berpotensi besar untuk diangkat sebagai pusat data, teknologi maklumat dan penjejakan wakaf global sejajar dengan kedudukannya yang strategik serta kestabilan geopolitik negara yang utuh.

37ab2054 e115 4c49 a072 ceb615ecd145
MOHD Ghazali Md Noor

Setiausaha Agung World Zakat & Waqf Forum, Datuk Dr. Mohd Ghazali Md Noor berkata, landskap geopolitik dunia Islam pada masa kini menuntut satu pusat perlindungan kewangan baharu yang selamat, telus dan berdaya saing bagi membolehkan pengurusan dana institusi itu dilaksanakan secara optimum.

Menurut beliau, pergolakan yang melanda beberapa negara serantau dan Timur Tengah menyaksikan penjejalan sumber kewangan dan pelaburan serta mendorong diaspora Muslim antarabangsa mencari hab yang berupaya menjamin keselamatan kewangan dan kelangsungan pelaburan institusi wakaf.

“Kerana negara kita adalah negara yang aman, kita berupaya menstrukturkan dan menterjemahkan semula pengurusan ekonomi Islam dalam konteks ketamadunan moden.

“Kenapa tidak Pulau Pinang dijadikan sebagai pusat penjejakan dan pengurusan wakaf antarabangsa, sekali gus bertindak seolah-olah ‘Switzerland kedua’ bagi dunia wakaf?

“Malaysia dan Indonesia kini menjadi peneraju serta harapan utama dunia Islam di rantau Nusantara apabila pelabur dan penderma mengalirkan dana ke sini, kita mampu menjamin kesinambungan, ketelusan serta keterbukaan menerusi aplikasi teknologi dan keupayaan penjejakan kewangan yang canggih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu forum sempena berlangsungnya Sidang Kemuncak Pembangunan Wakaf Pulau Pinang 2026 di Masjid Habib, dekat Tanjong Tokong, semalam.

4ab90f68 bf85 4c66 a815 b5ff6c68b50d 7322b2f8 a7e1 459d 9857 88a1460131ce b32f25b0 a034 4913 94a9 849e8757a719 5cbb293e df46 4cce 896c 8c1a54eacc98 e8e7e17a 18da 4a84 b80a d6b07b9b91fbSetiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Rosidi Hussain turut berkongsi pentas forum yang sama selaku panelis.

Turut hadir ialah Pengerusi Sidang Kemuncak Wakaf 2026 merangkap Pengerusi Persidangan, Dato’ Seri Nazir Ariff Mushir Ariff; Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf MAINPP, Abdul Mohsein Mohd Shariff; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Dato’ Idzham Mohd Hashim; Pengamal Undang-undang, Dato’ Abu Bakar As-Sidek Dato’ Mohd Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Abdul Latiff Abd Aziz.

Mengulas lanjut, Mohd Ghazali menekankan bahawa pemerkasaan institusi wakaf dan zakat kini perlu berteraskan prinsip “3S” iaitu Keselamatan (Security), Kelangsungan (Survival), dan Kejayaan (Success) bagi mengembalikan semula maruah serta martabat umat Islam di peringkat global.

“Prinsip ‘3S’ ini perlulah diterjemahkan menerusi tiga elemen pembaharuan utama: pegangan iman baharu (new faith), kekayaan baharu (new fortune), dan masa depan baharu (new future).

“Pengurusan wakaf bukan lagi sekadar instrumen inovasi ketika kecemasan. Sebaliknya menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi terancang,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut membandingkan pendekatan pengurusan ekonomi Islam antara Malaysia dan Indonesia yang disifatkan sebagai contoh ikutan serta benteng kekuatan kewangan Islam global pada masa kini.

Jelas beliau, Indonesia mengamalkan sistem ekonomi terbuka yang membolehkan pengurusan wakaf berkembang dengan pesat, manakala Malaysia pula mengambil pendekatan berteraskan kepimpinan negeri (state-led) yang mengutamakan keteguhan struktur, inovasi teratur, dan kawalan berfasa.

“Keupayaan badan pengurusan Islam di Malaysia terserlah menerusi pencapaian agensi tempatan, seperti Lembaga Zakat Negeri Kedah yang kini mengeksport modal insan serta model program zakatnya ke benua Afrika.

“Langkah komited ini turut dibuktikan oleh kejayaan agensi seperti Perbadanan Wakaf Selangor dan Waqaf An-Nur di Johor yang menguruskan aset serta dana bernilai tinggi, sekali gus membuktikan bahawa kekuatan sebenar umat Islam terletak pada keupayaan pengurusan ekonomi yang mampan dan berintegriti,” tambah beliau.

6a559937 c41d 4962 8085 a99249493bdb
ROSIDI Hussain

Sementara itu, Rosidi pula memberitahu bahawa MAINPP merupakan antara pentadbir agama peringkat negeri yang mengiktiraf pelaksanaan wakaf sementara atau wakaf bertempoh (wakaf muaqqad) sebagai instrumen fleksibel untuk memperkasakan tabung ekonomi dan khazanah hartanah umat Islam di tanah air ini.

Menurutnya, pengenalan wakaf muaqqad iaitu wakaf yang berkuat kuasa bagi tempoh tertentu seperti yang diikrarkan oleh pewakaf yang memberikan pilihan alternatif kepada masyarakat Islam yang mahu menyumbangkan harta atau tunai tanpa perlu terikat dengan konsep penyerahan kekal sepanjang hayat.

Menurutnya lagi, pendekatan inovatif ini amat kritikal memandangkan pemilikan hartanah dan aset kekal umat Islam yang semakin terhad pada masa kini, selain membuka ruang kepada sumbangan berbentuk dana wakaf tunai (Islamic Endowment Fund).

“Pulau Pinang merupakan antara negeri yang mengiktiraf wakaf muaqqad atau wakaf bertempoh ini, manakala terdapat negeri lain yang mungkin belum melaksanakannya.

“Wakaf muaqqad ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri memandangkan aset atau dana kekal pada hari ini adalah agak terhad.

“Sama ada wakaf itu bersifat kekal (muabbad) mahupun bertempoh (muaqqad), harta yang diwakafkan itu secara automatik menjadi hak Allah SWT dan MAINPP bertindak sebagai pemegang amanah yang bertanggungjawab memastikan manfaatnya sampai kepada sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rosidi turut memaklumkan bahawa MAINPP kini menguruskan lebih 1,006 unit aset wakaf merangkumi premis kediaman, tanah lapang, dan hartanah komersial di seluruh Pulau Pinang.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, beliau optimis jumlah aset wakaf di negeri itu berupaya melonjak dua kali ganda mencecah lebih 2,000 unit dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

“Kenaikan drastik ini didorong oleh kelulusan peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM199 juta menerusi ‘Tabung Sumbangan Gantian Kuasa Bumiputera’ bagi tujuan pembelian serta pengambilan tanah-tanah strategik di Pulau Pinang.

“Hasil keputusan Mesyuarat EXCO yang dipengerusikan oleh YAB Ketua Menteri, disahkan bahawa mana-mana tanah atau aset yang dibeli menggunakan peruntukan tabung ini mesti didaftarkan secara rasmi di atas nama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

“Kelulusan dana RM199 juta ini membolehkan kita menambah aset wakaf secara drastik antara lokasi tanah strategik yang dikenal pasti bagi permohonan pembangunan termasuk di Batu Maung, Taman Arman Laut, Permatang Pasir, Bachang Lalang, Matang Tok Kanjung, dan beberapa kawasan di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS),” jelas beliau.

Selain itu, beliau menambah, strategi memperluas pemilikan hartanah ini turut disokong oleh agihan manfaat wakaf yang telus mengikut syarat pewakaf.

“Contoh projek Wakaf Siti Aisyah fasa pertama di Seberang Perai yang telah siap dibangunkan, yang mana hasil dividen dan manfaatnya mula diagihkan secara bersasar kepada benefisiari seperti Masjid Permatang Janggut dan institusi pengajian agama.

“Tiga keutamaan utama pihak pengurusan wakaf pada masa ini adalah memegang amanah, melaksanakan pembangunan hartanah strategik, dan memastikan manfaat atau agihan hasil sampai kepada sasaran.

“Kesemua usaha ini dilakukan bagi memperkukuh prinsip kewangan wakaf agar mampu memberi impak sosioekonomi yang signifikan kepada masyarakat,” tambah beliau.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD