GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri meminda Undang-Undang Kecil Tempat Inap Persendirian (TIP) 2026 dengan menaikkan had bilangan bilik bagi setiap premis daripada lima kepada maksimum 10 bilik, selain mengurangkan kadar fi lesen dan fi TIP bagi premis berskala kecil.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, pindaan tersebut dibuat selepas Kerajaan Negeri meneliti maklum balas serta cadangan yang dikemukakan oleh pengusaha TIP dan pihak berkepentingan susulan pelaksanaan undang-undang kecil berkenaan pada 1 Ogos lalu.
“Kerajaan Negeri telah meneliti secara menyeluruh perkara-perkara yang dibangkitkan dan memutuskan untuk meminda beberapa peruntukan dengan mengambil kira keperluan serta realiti pengoperasian di lapangan.
“Pindaan ini dibuat bagi memastikan kepentingan semua pihak terus terpelihara, khususnya kesejahteraan penduduk setempat, di samping mengekalkan keberkesanan pelaksanaan dan pencapaian objektif UUK TIP 2026,” katanya pada sesi sidang media pengumuman pindaan UUK TIP 2026 di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang serta Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tan Soon Siang.

Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata bahawa pindaan berkenaan telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bilangan 30 Tahun 2026 pada 19 Oktober lalu dan kini dalam proses pewartaan.
Menurut beliau, kadar fi lesen turut disemak semula dengan menetapkan bayaran RM500 setahun bagi setiap unit TIP, berbanding kadar asal RM1,000 setahun bagi unit yang mempunyai sehingga tiga bilik.
Bagi setiap bilik tambahan, fi sebanyak RM200 setahun akan dikenakan, tertakluk kepada maksimum dua bilik tambahan sahaja yang dibenarkan di bawah struktur fi tersebut.
“Pengurangan kadar fi lesen ini diharap dapat membantu mengurangkan kos yang perlu ditanggung oleh pengusaha TIP,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, kadar fi TIP turut disemak daripada kadar tetap RM1,800 setahun bagi setiap unit kepada kadar berperingkat mengikut bilangan bilik.
“Bagi premis yang mempunyai satu bilik, fi TIP ditetapkan pada RM400 setahun, manakala premis dua bilik dikenakan RM600 dan tiga bilik RM800 setahun.
“Premis dengan empat bilik pula dikenakan RM1,000 setahun, sementara premis yang mempunyai antara lima hingga 10 bilik kekal pada kadar RM1,800 setahun,” jelasnya.

Tambah beliau, penetapan kadar baharu itu mengambil kira skala operasi setiap premis bagi memastikan fi yang dikenakan lebih adil dan munasabah, khususnya bagi pengusaha yang mengendalikan premis dengan bilangan bilik lebih kecil.
Selain itu, pindaan turut memperincikan tafsiran ‘Tempat Inap Persendirian’ bagi membezakan premis TIP dengan hotel berdasarkan sifat, kegunaan dan kaedah pengoperasian sebenar.
Jelas Mooi Lye, langkah itu bertujuan mengelakkan pengusaha hotel menukar kategori atau menjenamakan semula premis sebagai TIP semata-mata untuk mengelakkan pematuhan terhadap syarat pelesenan hotel yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, Mooi Lye turut menyatakan bahawa pindaan UUK TIP 2026 akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2027, manakala kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini akan memperhalusi garis panduan dan prosedur pengoperasian TIP susulan pindaan tersebut.
“Pindaan berkenaan tidak bermaksud Kerajaan Negeri melonggarkan kawal selia terhadap pengoperasian TIP, sebaliknya pengusaha masih perlu mematuhi semua syarat pelesenan dan peraturan yang ditetapkan.
“PBT akan sentiasa memastikan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan penduduk setempat terus terpelihara,” tambahnya.
Sebagai rekod, UUK TIP 2026 mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2026, dengan tempoh peralihan sehingga 31 Oktober ini diberikan kepada pengusaha untuk mengemukakan permohonan lesen tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh PBT sepanjang tempoh tersebut.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS