Pulau Pinang ke arah mesra OKU

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWNMajlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) kini giat mengimplimentasi kemudahan akses dalam merealisasikan Pulau Pinang sebagai negeri yang mesra golongan orang kurang upaya (OKU).

Yang diPertuanya, Ar. Patahiyah Ismail berkata, pelbagai aspek telah diambil kira dan diterapkan agar penyediaan kemudahan akses kepada OKU selaras dengan piawaian Malaysia Standard MS 1183, MS 1184 dan MS1331.

“Dalam pada itu, terdapat juga peruntukan khas perundangan di bawah By-laws 34A of Uniform Bulding Bylaws 1986 (UBBL) yang mensyaratkan bangunanbangunan supaya menyediakan aksesibiliti bagi membolehkan OKU masuk ke, dari dan dalam bangunan,’’ katanya pada Bengkel Towards OKU Friendly Penang di sini baru-baru ini.

Kira-kira 100 peserta termasuk pemaju, para profesional dari sektor awam dan swasta, pensyarah, penyelidik dan tenaga pengajar jurusan senibina bangunan dan wakil-wakil persatuan OKU menyertai bengkel tersebut yang bertujuan memperkenalkan tentang aplikasi konsep bebas halangan serta rekaan sejagat dalam binaan alam sekitar. Pada masa sama, ia juga bagi menggalakkan kesedaran tentang masalah dan cabaran dihadapi OKU sekiranya struktur akses yang sempurna tidak disediakan.

Bengkel dua hari yang dianjurkan oleh MPPP dengan kerjasama Jabatan Standards Malaysia, KAED Universal Design Unit (KUDU), Kuliyyah Seni Bina dan Rekabentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu turut dihadiri selebriti terkenal, Ras Adiba Radzi yang juga merupakan salah seorang panel bengkel tersebut di sini.

Patahiyah memberitahu, bengkel tersebut merupakan kesinambungan ke arah kesedaran kepada masyarakat umum tentang kepentingan dalam memastikan golongan OKU mendapat kemudahan yang sewajarnya.

“Kemudahan keperluan akses OKU di beberapa lokasi di Malaysia umumnya masih di tahap minimum, malah, kebanyakan bangunan-bangunan tidak mesra OKU dan perlu penambahbaikan agar memudahkan pergerakan golongan terbabit ketika berurusan.

Dalam pada itu, Pengarah Bangunan MPPP, Ar. Yew Tung Seang berkata, penganjuran bengkel tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada OKU, malah juga kepada agensi kerajaan dan pemaju terlibat dalam memberi kemudahan akses yang mesra OKU.

“Kita (MPPP) dan Jabatan Standard Malaysia telah mengadakan sesi audit akses di lima lokasi sering dikunjungi OKU di Pulau Pinang iaitu Bukit Bendera, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lebuh Campbell, pusat membelibelah Komtar dan 1st Avenue.

“Justeru, tempat-tempat tersebut akan dilengkapi dengan kemudahan akses yang mesra OKU dan berdasarkan prinsip Reka Bentuk Sejagat kelak,” ujar Tung Seang.

AR. PATAHIYAH Ismail (tiga dari kiri) bersama Yew Tong Seng (tiga dari kanan), Ketua Penolong Pengarah Standards Malaysia, Ahmad Razif Rahim (kanan sekali) dan Pengarah dan Pensyarah KUDU, Profesor Datuk Dr. Ar. Asiah Abdul Rahim (dua dari kanan) ketika merasmikan Bengkel Towards OKU Friendly Penang di sini baru-baru ini.
AR. PATAHIYAH Ismail (tiga dari kiri) bersama Yew Tung Seang
(tiga dari kanan), Ketua Penolong Pengarah Standards Malaysia,
Ahmad Razif Rahim (kanan sekali) dan Pengarah dan Pensyarah
KUDU, Profesor Datuk Dr. Ar. Asiah Abdul Rahim (dua dari kanan)
ketika merasmikan Bengkel Towards OKU Friendly Penang di
sini baru-baru ini.