GEORGE TOWN – Kekuatan Pulau Pinang sebagai ‘Silikon Lembah’ di rantau Asia Tenggara boleh dianggap sebagai salah satu tunjang utama kepada keberkesanan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang dilancarkan pada peringkat nasional.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, status negeri ini yang menjadi perintis kepada industri semikonduktor negara merupakan aset paling ampuh dalam memacu strategi ekonomi masa hadapan.
“Apa jua pelan tindakan peringkat kebangsaan sebenarnya bertitik tolak dari Pulau Pinang, inilah yang menjadi kekuatan negeri ini.
“Justeru, saya berpendapat bahawa keterujaan yang dirasai sekarang, terutamanya apabila Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) diumumkan, berakar umbi daripada hakikat bahawa industri semikonduktor ini bermula di sini (Pulau Pinang).
“Pulau Pinang merupakan tonggak yang paling ampuh,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada lapan pemimpin belia yang mewakili Pertubuhan Projek Kemajuan Sosial Ekonomi dan Demokrasi Malaysia (SEDAP Malaysia) di pejabatnya di Komtar sebentar tadi.
Mereka, Jasper Shim Yee Heng, Anthony Chong Chew Zhen, Wong Zu Jian Owen, Jordan Chong Jia Vui, Anson Chai Shen Leong, Cleopatra Montesha Unai, China Chen Vui dan Teih Jian Peng.
Dalam pertemuan yang berlangsung selama hampir 45 minit itu, Kon Yeow turut meluangkan masa bertukar pandangan bersama-sama delegasi terbabit mengenai agenda pembangunan ekonomi negeri serta peranan golongan belia dalam mendepani cabaran industri masa kini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN