TKMI nafi tuduhan salah guna kuasa, mulakan tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah

img 20260313 wa0044

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid memulakan tindakan undang-undang terhadap empat individu berhubung dakwaan menyebarkan kenyataan berunsur fitnah membabitkan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Zakat MAINPP.

Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang dilemparkan terhadap beliau dan kedua-dua institusi itu, yang disifatkan tidak berasas, berunsur fitnah dan berniat jahat.

“Tuduhan yang dibangkitkan sejak kebekalangan ini adalah tidak bersandarkan fakta sebenar dan dilihat mempunyai agenda politik untuk membina persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Bagi mempertahankan reputasi dan integriti institusi ini, saya secara peribadi serta pihak MAINPP dan Zakat MAINPP telah memulakan ptoses tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah tersebut.

“Saya akan mengambil tindakan lanjut bagi mempertahankan maruah serta kewibawaan institusi agama utama negeri ini daripada terus diperkotak-katikkandemi agenda politik pihak tertentu,” katanya pada sidang media dekat sini sebentar tadi.

Turut hadir, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Mohamad Kairi Gazalli dan peguam dilantik, Dato’ Habib Rahman Seeni Mohideen serta Ahmad Shukor Mohd. Saad.

Mengulas isu bantuan zakat kepada Zamri Ahmad, Mohamad menjelaskan bahawa individu berkenaan telah dikenal pasti sebagai asnaf miskin sejak Ogos 2023 iaitu sebelum beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Yang Dipertua MAINPP.

Katanya, Zamri ketika itu berdepan masalah kesihatan kritikal melibatkan penyakit jantung dan strok sehingga tidak lagi mampu bekerja serta hanya bergantung kepada pencen ilat berjumlah RM178.97 sebulan selepas potongan pinjaman perumahan.

“Beliau juga menanggung keluarga termasuk anak angkat yang merupakan pesakit buah pinggang.

“Sehubungan itu, perkara ini telah diteliti oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perumahan dan Fasiliti Zakat sebelum diluluskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Zakat MAINPP Bil. 4/2025 untuk menyelesaikan baki pinjaman perumahan melalui Skim Asnaf Gharimin,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa bayaran tersebut dibuat terus kepada akaun pembiayaan perumahan atas nama isteri arwah bagi menjamin kediaman serta kelangsungan hidup keluarga berkenaan selaras dengan prinsip Maqasid Syariah.

Dalam pada itu, Mohamad turut menjelaskan isu pembelian tanah melibatkan Lot 240, 264 dan 265 Mukim 3 di Seberang Perai Selatan.

Menurutnya, cadangan pembelian tanah tersebut telah bermula sejak 15 Januari 2021 dan melalui beberapa peringkat penelitian termasuk penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) serta penelitian oleh Jawatankuasa Pembangunan, Hal Ehwal Tanah dan Aset MAINPP sebelum diputuskan oleh pihak berkaitan.

“Tanah ini dibeli berdasarkan nilai pasaran semasa yang ditentukan oleh JPPH dengan mengambil kira keadaan semasa tanah termasuk kedudukannya berhampiran laluan kuari baharu dan kabel voltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Pembelian ini menggunakan wang tawaquf selaras garis panduan MAINPP dan bertujuan memperkukuh pemilikan tanah umat Islam serta pembangunan yang memberi manfaat kepada golongan asnaf,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Mufti Pulau Pinang dalam sidang media pada 29 Januari lalu telah menjelaskan bahawa tidak wujud sebarang pelanggaran fatwa berkaitan urusan pembelian tanah tersebut.

Mengulas dakwaan berkaitan pelantikan ahli keluarga, Mohamad berkata perkara itu sebenarnya melibatkan proses tukar lantik dalam skim perkhidmatan awam yang dilaksanakan mengikut prosedur serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa anaknya menerima biasiswa zakat.

Katanya, program tersebut merupakan tajaan pengajian kepada pelajar lepasan Diploma Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang untuk melanjutkan pengajian ke universiti di Timur Tengah di bawah kategori asnaf Fi Sabilillah.

“Anak saya dan anak Mufti Pulau Pinang layak dipertimbangkan selepas melalui proses penilaian serta melepasi tapisan Education Malaysia Jordan (EMJ) seperti calon lain.

“Bagaimanapun, saya telah menolak tawaran biasiswa tersebut untuk anak saya,” katanya.

Tambah beliau, program tersebut terbuka kepada semua pelajar lepasan Diploma KITAB yang memenuhi syarat tanpa mengira latar belakang dan antara penerima tawaran termasuk anak kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.

Dalam pada itu, Mohamad turut menegaskan bahawa lawatan beliau ke luar negara bersama ahli keluarga sebelum ini tidak melibatkan penggunaan dana kerajaan atau agensi dan semua kos ditanggung secara peribadi.

Sementara itu, Habib Rahman berkata surat tuntutan (LOD) yang dikeluarkan turut menuntut individu-individu terbabit supaya menghentikan serta-merta penyebaran bahan berunsur fitnah, selain mengemukakan permohonan maaf serta membuat akujanji untuk tidak menerbitkan semula tuduhan berkenaan.

Tambah beliau, pihak berkenaan diberikan tempoh tujuh hari bermula hari ini untuk memenuhi tuntutan tersebut.

“Sekiranya mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh yang diberikan, pihak kami akan meneruskan tindakan prosiding di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga dalam proses mengenal pasti beberapa pihak dan individu lain yang menyebarkan kenyataan berunsur fitnah berkenaan.

Menurutnya, tindakan terhadap individu terbabit akan diambil dalam fasa kedua, termasuk terhadap mana-mana pihak yang menulis, menerbitkan atau menyebarkan semula kenyataan berkenaan di pelbagai platform.

“Kami dalam proses pengesahan sebab ada yang guna nama samaran, selain ada berlindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak berdaftar. Jadi kami sedang mengenal pasti individu terlibat,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS