Pulau Pinang komited dan peka akan keperluan kelengkapan barisan hadapan

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited dalam memastikan semua anggota barisan hadapan mendapat kemudahan dan peralatan yang mencukupi dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sehingga 11 April 2020, Kerajaan Negeri telah mengedarkan 1.311 juta pelitup muka kepada barisan hadapan dan kelompok masyarakat yang memerlukan.

PENGARAH Kesihatan Negeri, Dr. Asmayani Khalib (dua dari kanan) menerima sumbangan yang disampaikan melalui Kerajaan Negeri. (Gambar : FAIL BULETIN MUTIARA)

“Bagi peralatan perlindungan peribadi (PPE), sejumlah 30,510 set yang diterima oleh Kerajaan Negeri telah disalurkan 100 peratus kepada pihak-pihak berkaitan.

“Begitu juga 309,000 sarung tangan dan sarung kasut serta peralatan lain seperti termometer, pensanitasi dan face shield (pelindung muka) yang akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Ini adalah komitmen kami (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) dalam bersama-sama (barisan hadapan) memenangi pertempuran (melawan COVID-19) ini,” zahirnya ketika menyampaikan mesej harian yang disiarkan secara langsung melalui Facabook @ChowKonYeow tadi.

Menurut Kon Yeow, pada 13 April lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa pihaknya masih memerlukan stok PPE.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendengar permintaan ini dan komited memastikan hospital serta klinik kerajaan di negeri ini mempunyai bekalan PPE yang secukupnya.

“(Usaha) ini telah menjadi komitmen sejak dari awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan lagi bagi memastikan semua anggota barisan hadapan mendapat kemudahan dan peralatan mencukupi,” katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa menerima pengemaskinian maklumat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) termasuk aspek bekalan peralatan.

“Saya difahamkan bahawa situasi bekalan PPE di negeri ini adalah terkawal selain keprihatinan Kerajaan Negeri, sumbangan turut diterima daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang begitu komited.

“JKNPP turut memperoleh sumbangan daripada syarikat-syarikat swasta melalui Kerajaan Negeri bagi pembelian peralatan yang mana senarai peralatan serta consumables telah disenaraipendekkan termasuk nama model dan syarikat pembekal,” jelasnya.

Kon Yeow, dalam pada itu, turut memaklumkan rangkuman perkembangan sepanjang pelaksanaan Fasa 1 PKP (PKP 1) dan Fasa 2 (PKP 2).

JKNPP memaklumkan bahawa tiada kluster baru direkodkan di negeri kita dan saya bersyukur kerana semua anggota barisan hadapan kita juga berada dalam keadaan sihat. Semoga doa kita terus bersama-sama mereka.

“(Selain itu), Ketua Polis Pulau Pinang juga melaporkan bahawa kadar kepatuhan sehingga berakhirnya Fasa 2 (PKP 2) semalam, adalah 97.84 peratus dengan jumlah tangkapan seramai 861 individu ingkar.

“Hari ini merupakan hari ke-29 PKP bermakna bermulanya Fasa 3 (PKP 3) (sehingga 28 April 2020), saya harap anda akan terus patuh pada arahan, duduk di rumah dan kurangkan pergerakan di luar,” serunya yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua anggota barisan hadapan, sama ada di pihak negeri mahupun persekutuan, yang telah bekerja keras memastikan kesejahteraan Pulau Pinang sepanjang tempoh sebulan lalu.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut mengumumkan penganjuran pertandingan e-sukan, Liga Duduk Rumah oleh Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) pada 18 April 2020.

Pada 20 April 2020 pula, Digital Penang akan menganjurkan sidang meja bulat maya, ‘PLC19 eCrowdSource: Hacking the Next Normal’ yang mana penggiat teknologi, jurutera komputer, pengekod (coders) akan berkumpul secara maya bagi membincangkan penyelesaian teknologi sebagai menempuh cabaran baru yang sedang dihadapi kini.

“Saya yakin, melalui usaha kita semua, Pulau Pinang akan mampu keluar daripada krisis ini dan terus berkembang maju serta cemerlang.

“Pulau Pinang tidak boleh berada dalam keadaan krisis untuk selama-lamanya, justeru Kerajaan Negeri turut membuat persediaan berdepan situasi ini melalui ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’,” katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’ mempunyai tiga misi utama iaitu mengukuhkan ekosistem di Pulau Pinang; menyelaraskan ekosistem kepada perubahan abad ke-21 dan membina ketahanan menghadapi sebarang kemungkinan krisis pada masa hadapan.

Sebelum mengakhiri siaran langsung, Kon Yeow yang mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima sumbangan berjumlah RM250,000 untuk disalurkan ke Tabung COVID-19 Pulau Pinang daripada Intel Malaysia yang diwakili oleh Pengurus Pembangunan Organisasi, Aileen Kee.

AILEEN Kee menyerahkan cek cura (mock cheque) kepada Ketua Menteri di Komtar petang ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN