Peniaga sambut baik inisiatif MBSP sediakan platform bazar Ramadan dalam talian

PERMATANG PASIR – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melancarkan Portal eBazar Ramadan sebagai inisiatif bagi membantu peniaga-peniaga menjalankan perniagaan masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif baru itu diperkenalkan selepas Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan pembatalan penganjuran bazar Ramadan di seluruh negeri pada tahun ini akibat pandemik COVID-19.

Justeru, Buletin Mutiara menjalankan tinjauan umum untuk melihat sejauh mana penerimaan peniaga terhadap Portal eBazar Ramadan sebagai platform untuk mereka meneruskan kelangsungan perniagaan.

Nur Farah Dyana Alsianto.

Pemilik perniagaan nasi ayam, Nur Farah Dyana Alsianto menyambut baik dan mengalu-alukan inisiatif penganjuran bazar Ramadan secara dalam talian (online) yang dilihat dapat membantu peniaga sampai kepada lebih ramai pelanggan.

“Biasanya kami berniaga di bazar Ramadan dekat Masjid Jalan Baru tetapi pada tahun ini kami akan kekal berniaga di sini kerana telah mendapat kebenaran daripada MBSP.

“Kami juga diberitahu bahawa MBSP menyediakan Portal eBazar Ramadan untuk peniaga-peniaga bazar dan memang kami berminat untuk menyertai platform online ini untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan.

“Lagipun kami tidak ada masalah dengan perkhidmatan penghantaran kerana kami merancang untuk melakukannya sendiri,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Sama Gagah, di sini pagi tadi.

A’zizah Hashim.

Bagi peniaga Cendol Meleleh, A’zizah Hashim pula berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk menyertai bazar Ramadan secara online sekiranya tidak ada masalah daripada segi penghantaran.

“Setiap tahun kami menjalankan perniagaan dekat bazar Ramadan Taman Arowana tetapi memandangkan tahun tidak ada kami buat keputusan untuk terus berniaga di sini.

“Saya juga mendapat maklumat bahawa MBSP menyediakan platform jualan secara online dan kami memang terfikir untuk menyertainya.

“Kami memang berminat tetapi buat masa sekarang kami kurang maklumat mengenai cara untuk khidmat penghantaran kerana kami mempunyai kekangan daripada segi itu,” ujarnya.

Mohd. Shakhari Aziz.

Dalam pada itu, Mohd. Shakhari Aziz yang menjalankan peniagaan apam balik memberitahu bahawa dia tidak akan meneruskan perniagaan pada bulan Ramadan pada tahun ini selepas mendapat maklumat mengenai pembatalan penganjuran bazar Ramadan di seluruh negeri.

“Tahun ini saya buat keputusan untuk tidak berniaga sebab mahu berehat seketika.

“Walau bagaimanapun saya akan bantu beberapa orang kawan yang berniat untuk meneruskan perniagaan mendaftar melalui Portal eBazar Ramadan.

“Ramai kawan-kawan saya menyatakan hasrat mereka untuk menyertai platform ini tetapi mereka masih kurang maklumat dan kefahaman mengenai cara untuk mendaftarkan perniagaan masing-masing,” jelasnya.

Khairil Othman.

Bagi peniaga kurma, Khairil Othman pula berpendapat bahawa Portal eBazar Ramadan MBSP dilihat mampu memudahkan peniaga untuk memasarkan produk jualan mereka.

“Terima kasih kepada MBSP kerana berusaha membantu kami dalam saat getir ini dan saya percaya usaha ini disambut baik oleh sebahagian besar peniaga di Seberang Perai,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sendiri telah merasmikan portal khas berkenaan yang bertujuan memudahkan urusan jual-beli secara dalam talian bagi sepanjang bulan Ramadan serta pada musim perayaan Aidilfitri nanti.

Ketika berucap, Kon Yeow berharap portal https://www.mbsp.gov.my/ebazar/ akan menjadi pusat sehenti secara dalam talian demi memudahkan aktiviti jual beli ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS