Pulau Pinang negeri WiFi pertama negara

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil inisiatif selaras dengan moto ‘Pakatan Rakyat untuk semua, WiFi untuk semua’ dengan menyediakan tambahan 750 wifi ‘hotspots’ percuma bagi fasa kedua meliputi kawasan di sekitar Pulau Pinang.

Bagi fasa pertama, Redtone Telecommunications Sdn. Bhd. (Redtone) merupakan syarikat yang bertanggungjawab memasang dan menyelenggarakan kesemua ‘hotspots’ wifi percuma kepada rakyat Pulau Pinang yang telah dilancarkan pada 2009 dan kos penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat.

Redtone merupakan syarikat yang mempunyai kepakaran, sumber dan penyelesaian dalam perniagaan jalur lebar tersebut juga berpengalaman bekerjasama dengan pelbagai saiz dan sektor perniagaan selama lebih dari 10 tahun.

Kesemua pemasangan fasa kedua wifi percuma ini dijangka siap pada April 2012, di mana liputan wifi digandakan menjadi 1,500 ‘hotspots’ yang menelan belanja sebanyak RM8.5 juta dalam masa lima tahun yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian ketika menghadiri majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara PDC Telco dan Redtone pada 26 Mac yang lalu. Turut hadir adalah Pengarah Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar, Pegawai Kewangan Negeri, Mokhtar Mohd. Jait dan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi.

Kini rakyat Pulau Pinang dapat menikmati kemudahan ini dan menjadi warga pintar IT.

PENGARAH Urusan Redtone Telecommunications Sdn. Bhd., Wei Chuan Beng (kiri sekali) bertukar dokumen MoU dengan Jeff Ooi (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh Lim Guan Eng (dua dari kiri), Datuk Rosli Jaafar (tengah) dan Mokhtar Mohd. Jait (kanan sekali).
PENGARAH Urusan Redtone Telecommunications Sdn. Bhd., Wei Chuan Beng (kiri sekali) bertukar dokumen MoU dengan Jeff Ooi (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh Lim Guan Eng (dua dari kiri), Datuk Rosli Jaafar (tengah) dan Mokhtar Mohd. Jait (kanan sekali).